Thursday, March 6, 2014

Lagi gambar pemimpin negara dihina



MUHAMMAD Faiz Hashim (tengah) bersama ahli-ahli Pemuda dan Wanita UMNO mengadakan bantahan aman setelah membuat laporan polis terhadap gambar menghina pemimpin negara di Kuantan, Pahang, semalam. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN
KUANTAN 5 Mac - Sebanyak enam laporan polis dibuat di Balai Polis Indera Mahkota dekat sini bagi meminta siasatan dilakukan terhadap penyebaran gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diubah suai secara keterlaluan bersama seekor khinzir.
Laporan tersebut dibuat oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuantan, Nara Nikman Nordin dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Indera Mahkota, Wan Napiah Wan Yusof.
Yang turut membuat laporan ialah Ketua Puteri UMNO Bahagian Indera Mahkota, Esfarini Suddin; Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Paya Besar, Mohd. Farid Basirun dan Ketua Sekretariat Pemuda UMNO Kuala Krau, Nasrulisyam Abd. Hamid.
Muhammad Faiz (gambar) berkata, laporan polis itu dibuat bagi mendesak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat segera penghinaan terhadap pemimpin negara itu.
“Ini merupakan satu perbuatan yang melampaui batas. Sepatutnya kita harus menghormati pemimpin negara tidak kira daripada parti politik mana sekalipun.
“Tindakan tegas perlu diambil kerana isu penghinaan terhadap pemimpin negara ini sering berulang sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Nara Nikman berkata, pihaknya bimbang tindakan tersebut boleh mengganggu gugat ketenteraman negara ini.
“Penghinaan ini amat berat dan kami Pemuda UMNO tidak dapat menerimanya sama sekali. Jika tidak dibendung, saya bimbang isu ini mengundang keadaan tidak harmoni dalam negara," katanya.
Wan Napiah pula berkata, polis perlu menjalankan siasatan segera memandangkan perkara tersebut serius kerana melibatkan pemimpin negara.
“Justeru, kami menggesa satu kertas siasatan dibuka bagi mengenal pasti pihak yang terlibat dalam usaha jahat itu," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140306/po_01/Lagi-gambar-pemimpin-negara-dihina#ixzz2v8LmEuIg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment