Thursday, March 6, 2014

Rusia nafi arah kumpulan pro-Rusia kuasai Crimea


AP
DUA askar Rusia mengawal sebuah dermaga di Sevastopol, Semenanjung Crimea, Ukraine semalam.


MADRID - Kerajaan Rusia semalam memberitahu bahawa Moscow tidak mempunyai kuasa terhadap kumpulan bersenjata pro-Rusia yang kini mengusai wilayah Semenanjung Crimea di Ukraine.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata, kumpulan bersenjata yang berada di Crimea tidak menerima sebarang arahan dari Kremlin yang merupakan pejabat Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu sehari selepas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memberitahu bahawa, Rusia tidak memperbodohkan sesiapa berhubung peranannya di Ukraine.
Lavrov juga menggesa semua pihak menghormati perjanjian damai yang dimeterai sebelum ini dan perlembagaan Ukraine bagi mengembalikan semula ketenteraman di rantau berkenaan.
"Sekiranya ada kumpulan bersenjata yang mempertahankan diri diwujudkan oleh penduduk di Crimea, kami tidak mempunyai kuasa terhadap mereka.
"Mereka (kumpulan bersenjata) juga tidak menerima arahan daripada kami," kata Lavrov dalam satu sidang akhbar selepas meng- adakan pertemuan dengan Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Garcia-Margallo.
Konflik Ukraine dengan Rusia berlaku selepas anggota-anggota Parlimen memilih Oleksandr Turchynov sebagai Presiden sementara bagi menggantikan Viktor Yanukovych yang melarikan diri dari Kiev pada bulan lalu.
Yanukovych melarikan diri selepas beliau menandatangani satu perjanjian damai tajaan Barat bagi meredakan situasi politik selepas hampir 100 orang mati akibat pertempuran antara anggota-anggota polis dengan penunjuk perasaan.
Para penunjuk perasaan itu menuntut Yanukovych meletakkan jawatan selepas beliau enggan menandatangani satu perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Eropah.
Jika perjanjian itu ditandatangani, barangan Ukraine akan menembusi pasaran di Eropah.
Namun, Rusia kemudian tidak mengiktiraf Turchnov sebagai Presiden sementara.
Sebaliknya, Rusia masih mengiktiraf Yanukovych sebagai Presiden Ukraine kerana beliau mempunyai hubungan amat rapat dengan Moscow.
Sejumlah askar-askar Rusia kemudian didapati mengawal beberapa lokasi di Semenanjung Crimea.
Semananjung itu juga mempunyai sebuah pangkalan tentera Rusia. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0306&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2v8OxMjoK 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment