Saturday, March 22, 2014

Mahkamah batal pilihan raya umum Thailand

SEKUMPULAN penunjuk perasaan antikerajaan berehat di tepi sebuah kolam di Taman Lumpini, Bangkok semalam.


BANGKOK - Mahkamah Perlembagaan Thailand semalam membatalkan pilihan raya umum bulan lalu sekali gus menjerumuskan negara ini ke dalam kecelaruan politik.
Perkembangan tersebut menyebabkan Thailand kini ketiadaan kerajaan yang lengkap.
Mahkamah berkenaan membuat keputusan dengan undi 6-3 bahawa pilihan raya pada 2 Februari lalu melanggar perlembagaan kerana pengundian tidak berjalan pada hari yang sama di seluruh negara.
Sejumlah penunjuk perasaan antikerajaan menghalang proses pengundian melibatkan satu perlima wilayah di Thailand manakala pilihan raya turut gagal diadakan di 28 wilayah kerana para calon gagal mendaftar.
Protes tersebut merupakan episod terbaharu dalam krisis lapan tahun yang menyaksikan perbalahan golongan kelas pertengahan dan pengikut monarki dengan para penyokong Perdana Menteri Yingluck Shinawatra serta abangnya, bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.
Thaksin yang digulingkan oleh tentera pada 2006 kini menetap di luar negara untuk mengelak hukuman penjara selepas didapati bersalah dalam satu kes rasuah.
"Agensi-agensi bebas sepakat bahawa mereka (Mahkamah Perlembagaan dan Suruhanjaya Anti -Rasuah) mahu menggulingkan Yingluck dan Kabinetnya.
"Mereka mahu mewujudkan kekosongan kuasa, mendakwa pilihan raya tidak boleh diadakan seterusnya mencalonkan perdana menteri pilihan mereka," kata penganalisis politik Unit Perisikan Siam, Kan Yuenyong.
"Jika mereka melaksanakan rancangan ini, para penyokong kerajaan akan memberikan tentangan balas dengan enam bulan seterusnya bakal menyaksikan kemelut yang lebih teruk berbanding awal tahun ini," tambahnya.
Menurut Kan, kumpulan Baju Merah yang menyokong Thaksin kini lebih agresif sekali gus mencetuskan kemungkinan lebih banyak keganasan berlaku jika Yingluck dipaksa meletak jawatan.
Kumpulan tersebut kuat di utara dan timur laut Thailand.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Anti-Rasuah Kebangsaan boleh mencadangkan undi tidak percaya terhadap Yingluck dalam tempoh beberapa hari lagi, berkemungkinan pada 31 Mac ini.
Ia berikutan kegagalan Yingluck menyelia skim subsidi pembelian beras oleh kerajaan yang didakwa dicemari rasuah dan merugikan negara.
Beliau boleh digulingkan oleh Dewan Tinggi Senat yang memiliki majoriti anggota anti-Thaksin.
Beberapa penganalisis berkata, Senat kelak akan melantik seorang perdana menteri neutral seperti yang diminta oleh para penunjuk perasaan antikerajaan.
Sementara itu, masih tidak jelas tarikh pilihan raya baharu akan diadakan di Thailand susulan keputusan mahkamah perlembagaan negara itu. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0322&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2wdVgWZZT 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment