Saturday, March 22, 2014

MH370: Pakar yakin bateri Lithium di ruang kargo terbakar

BERITA bahawa penerbangan MAS MH370 yang hilang ada membawa muatan bateri lithium-ion yang mudah terbakar tidak langsung memeranjatkan bekas ketua keselamatan, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (USFAA). 
Billie Vincent, yang pernah bertugas sebagai ketua Pentabiran Keselamatan Penerbangan Awam, (FAA), sejak awal lagi berpendirian bahawa adalah tidak wajar untuk mengesyaki anak-anak kapal sebagai pensabotaj dalam hal kehilangan penerbangan MAS MH370 ini.
Sebaliknya, beliau melihat bahawa anak kapal penerbangan berkenaan mungkin telah berusaha berhempas pulas  cuba menyelamatkan pesawat sehinggalah ke saat beliau sendiri tumpas kepada kebakaran yang memusnahkan penerbangan berkenaan.
Kebakaran yang berlaku mungkin berpunca dari bateri lithium-ion yang sifatnya mudah terbakar di dalam ruang kargo pesawat. Kalau pun ada kemungkinan api berpunca dari sumber lain tetapi kehadiran bateri berkenaan di dalam kargo pesawat berupaya menyemarakkan kebakaran dengan cepat.       
Vincent merupakan individu yang memainkan peranan utama dalam merumus polisi berkaitan pengurusan krisis dalam mengendalikan kes-kes rampasan kapal terbang di Amerika Syarikat dalam tahun 1980-an.
Beliau juga mengetuai Agensi Marshal Udara Persekutuan (pasukan bersenjata), sebuah agensi di bawah FAA dan menjadi saksi utama dalam perbicaraan kes pengeboman pesawat Pan Am 103 oleh kumpulan pengganas.
Selepas menamatkan perkhidmatan dengan FAA, beliau mengetuai sebuah firma perundingan antarabangsa yang telah mendapat kontrak merangka dan melaksanakan sistem keselamatan untuk lapangan terbang antarabangsa Malaysia, KLIA.
Dari lapangan terbang inilah pesawat MH370 berlepas pada 12.41 pagi, Sabtu, 8 Mac 2014 dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal. Ianya hilang dari radar dalam penerbangan ke Beijing pada jam 1.21 pagi setelah membuat transmisi radio yang terakhir pada 1.19 pagi.  
Pegawai-pegawai dari pihak berkuasa Malaysia mengesyaki bahawa seseorang di dalam pesawat telah mematikan Sistem Laporan dan Penyampaian Komunikasi (ACARS) pesawat berkenaan dan kemudiannya mematikan transponder pesawat menyebabkan terputusnya perhubungan pesawat dengan pusat kawalan trafik udara.
Denyutan elektronik (pings) yang ditransmisikan oleh pesawat secara automatik ke satelit Inmarsat menunjukkan bahawa penerbangan MH370 berkemungkinan telah dengan sengaja dilencongkan dan terbang ke hala utara merentasi kawasan Asia Tengah atau ke hala selatan merentasi Lautan Hindi.

DENYUTAN ELEKTRONIK
Dalam satu temubual eksklusif dengan Air Traffic Mangement.com, Vincent menolak kemungkinan bahawa sebutir bom telah diletupkan di dalam pesawat kerana sekiranya hal ini berlaku maka bahagian dalam pesawat musnah dan sistem tekanan udara pesawat rosak. Ini tidak berlaku.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa denyutan elektronik yang diterima oleh satelit menunjukkan bahawa pesawat MH370 terbang berterusan selama sehingga 7 jam selepas hilang dari radar, menunjukkan bahawa “aerostructure” pesawat berkenaan dalam keadaan baik.
Berasaskan kepada serpihan-serpihan yang dikesan di kawasan yang terletak 1,550 batu ke barat daya Perth, dan berasaskan kepada denyutan elektronik yang terakhir yang di terima oleh satelit Inmarsat, Vincent berpendapat bahawa pesawat tidak lagi di bawah kawalan juruterbang atau pembantu juruterbang sehingga ia akhirnya, mungkin terhempas. 
 “Data-data yang didedahkan setakat ini berkemungkinan menunjukkan bahawa masalah yang menimpa pesawat ada kaitannya dengan bahan berbahaya yang dibawa oleh pesawat.
“Senario yang berlaku bermula dengan kebakaran bahan berbahaya ini di ruang kargo – kerana bahan berkenaan tidak dibungkus dengan cermat mematuhi peraturan yang ditentukan atau pun bahan berkenaan diterbangkan secara menyalahi undang-undang atau kedua-duanya sekali,” jelas  Vincent. 

BATERI LITHIUM-ION
Pihak berkuasai Malaysia pada hari Jumaat mengesahkan bahawa pesawat yang hilang itu ada membawa bateri lithium-ion di dalam ruang kargonya tetapi mendakwa pihak MAS tidak menganggap bahan berkenaan berbahaya kepada keselamatan pesawat.
Ini kerana peraturan berpiawaian berkaitan dengan sistem pembungkusan bahan berbahaya telah dipatuhi.
“Bahan ini bukan dianggap bahan berbahaya dan kami telah membungkusnya mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO),”  ujar Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.
Sehingga kini, maklumat manifest kargo yang telah didedahkan hanyalah berkaitan empat ton buah manggis. 
Vincent yakin bahawa sekiranya kebakaran bermula di ruang kargo, ianya tentu telah merebak kebahagian lain pesawat sehingga memusnahkan sistem komunikasi pesawat itu.
Berkemungkinan gas beracun yang terhasil dari kebakaran telah melemaskan penumpang-penumpang di dalam kabin pesawat dan anak kapal  di ruang kokkpit. Mungkin juruterbang atau pembantu juruterbang pesawat telah berjaya memasang corong oksigen dan mengemudi pesawat untuk berpatah balik  ke Kuala Lumpur atau ke Pulau Langkawi. 
Pesawat MH370 dilaporkan telah terbang ke paras 45,000 kaki yang mana Vincent percaya bahawa ia disebabkan ketidakupayaan pilot untuk melihat alat pengawal penerbangan di dalam kokpit untuk mengemudi penerbangan kembali ia ke paras yang biasa.
Vincent percaya bahawa pilot mungkin akhirnya telah dapat mengawal semula penerbangan dan mengemudi pesawat ke paras sekitar 23,000 kaki  - yang merupakan aras yang telah ditetapkan oleh pembuat pesawat bertuju menghalang kebakaran dari terus merebak dan menjamin  supaya pesawat berada dalam keadaan yang lebih selamat bila membuat pendaratan cemas.
Laporan rasmi mengenai penerbangan UPS B747 yang terhempas di Dubai memperincikan bagaimana anak-anak kapal telah berusaha berhempas pulas untuk memulihkan tekanan udara di dalam pesawat bagi menahan supaya kebakaran tidak terus merebak 30 saat selepas pesawat itu hilang dari kawalan dan sistem pengesanan.
Dalam kemalangan itu – semua anak kapal terkoban – di dapati bahawa masa dari kebakaran mula-mula dikesan sehingga pesawat hilang dari kawalan adalah sekitar dua setengah minit.

BAHAN BERBAHAYA
Pesawat UPS B747 didapati membawa tiga bungkusan bateri lithium yang sepatutnya diistiharkan sebagai “bahan merbahaya” tetapi tidak diistiharkan seperti sepatutnya. Ujian-ujian yang dibuat oleh Pusat Teknologi FAA di Amerika Syarikat selepas pesawat terhempas menunjukkan bahawa “pemanasan” (overheating) yang berlaku di dalam ruangan kargo telah menyebabkan berlakunya reaksi berantai (chain reaction).
“Bateri yang bukan punca kepada kebakaran berkenaan telah terbakar dan apinya merebak yang akhirnya membawa kepada bencana yang telah berlaku,” kata Vincent.
Berpandukan kepada penemuan ini, penyiasat kemalangan pesawat MH370 pastinya mahu mengetahui kuantiti dan lokasi di mana bateri berkenaan diletakkan di dalam pesawat.
Adalah juga penting untuk mengetahui bagaimana bateri itu telah dibungkus dan diperbuat  serta untuk mengetahui rekod sejarah penghantaran bateri ini oleh MAS dan juga oleh kilang pembuat bateri.
Penyiasat-penyiasat yang menyiasat kemalangan udara di Dubai juga mendapati bahwa rakaman suara kokpit menunjukkan bahawa corong oksigen yang dipakai oleh pilot kehabisan udara selepas 6 minit amaran kebakaran berbunyi. 
Ini menyebabkan pilot meninggalkan tempat kawalan kapal terbang kerana kesukaran bernafas dan terhidu gas beracun. Pembantu juruterbang yang mengmbilalih kemudi pesawat tidak dapat melihat ke hadapan kokpit, panel kawalan pesawat di dalam kokpit  dan panel kawalan audio menyebabkan pesawat gagal dikawal dan dikemudi semula.  
Pihak berkuasa memberitahu bahawa komunikasi perbualan dari penerbangan MH370 yang paling akhir dihantar dua minit sebelum pesawat hilang dari skrin radar pusat kawalan udara ketika terbang di ruang angkasa Laut China Selatan.
Vincent percaya bahawa anak kapal telah berjaya menstabilkan pesawat buat beberapa ketika dan meletakkan arah baru penerbangan sebelum kemudiannya tumpas akibat ketiadaan oksigen atau kehadiran gas beracun di dalam pesawat.
“Pesawat terus terbang secara autopilot sehingga ia kehabisan minyak dan terhempas – berkemungkinan besar di kawasan lautan kerana tiada apa-apa laporan diterima dari sistem Emergency Locater Transmitter pesawat berkenaan.
“ELT diterima oleh satelit sekiranya pesawat terhempas di daratan,” ujar Vincent.
Vincent yakin bahawa lain-lain senario seperti rampasan pesawat dan sabotaj tidak mungkin berlaku. Misalnya, tidak ada petunjuk bahawa juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat berkenaan terlibat dalam perbuatan jenayah menyebabkan kehilangan pesawat. 

DIBOLOSI PENJENAYAH
Juga, pihak berkuasa Malaysia belum ada mendedahkan sebarang data yang menunnjukkan bahawa sistem keselamatan pesawat telah dibolosi penjenayah atau perampas pesawat.
Beberapa orang penyiasat kemalangan penerbangan memberitahu Air Traffic Mangement.com bahawa masih wujud perkara yang belum dapat ditentukan dengan tepat, misalnya kenapa radio di dalam pesawat MH370 tidak berbunyi?
Apabila pesawat terhempas disebabkan oleh kebakaran, keadaan buruk berlaku dengan cepat yang akhirnya memusnahkan kemampuan pesawat untuk terbang seperti mana yang berlaku kepada pesawat UPS 747-400 berpunca darit kebakaran bateri lithium di dalam ruang kargo.
Pesawat itu terhempas di Dubai. Ini jugalah yang berlaku kepada Valujet 594 yang terhempas kerana kebakaran penjana oksigen yang terletak dalam ruang kargo peswat, Swiss Air 111 kerana kebakaran sistem letrik di ruang kosong di bahagian bumbung sebelah dalam pesawat dan South African Airways Boeing 747 dalam tahun 1987 kerana kebakaran di ruang kargo. 
Dalam setiap kes, Vincent mendapati, anak kapal mempunyai masa yang cukup untuk berkomunikasi dengan  pusat kawalan udara sebelum pesawat terhempas walaupun kebakaran berkenaan merebak dengan cepat.
Dalam setiap kes yang disebut, kebakaran menyebabkan pesawat tidak boleh lagi terbang kecuali dalam kes Swiss Air di mana pesawat terus terbang berlegar di udara bagi menghabiskan bahan bakar.
Alasan kedua yang menimbulkan keraguan mengenai kejadian kebakaran di ruang kargo pesawat MH 370 ialah pilot pesawat, sekiranya beliau patuh kepada prosedur kecemasan, sepatutnya dia telah menggunakan corong oksigen kecemasan yang mampu melindungi pemakainya dari gas beracun.
Pada corong oksigen kecemasan itu ada alat mikrofon yang membolehkan mereka berhubung dengan pusat kawalan trafik  dan menyatakan keadaan yang dihadapi dan maksud mereka untuk cuba membuat pendaratan cemas. Tidak diketahui ini dilakukan atau tidak oleh anak kapal berkenaan.
Akhirnya, di sana wujud keraguan sama ada – walaupun sistem autopilot masih berfungsi – sesebuah pesawat berupaya untuk terus terbang sehingga 7 jam. Kemalangan sepatutnya berlaku lebih cepat walaupun ada usaha di pihak anak kapal untuk menstabilkan tekanan udara di dalam kabin untuk menghentikan kebakaran. - Diterjemahkan secara bebas dari Air traffic Management.com oleh Dr Rosli Yaakob
-harakah

No comments:

Post a Comment