Wednesday, March 19, 2014

Singapura gerak rangkaian perkapalan awam, tentera


SEORANG kru Tentera Udara Singapura melihat keluar tingkap pesawat pengangkut tentera C130 ketika menyertai usaha mencari pesawat MH370 di Laut China Selatan pada 11 Mac lalu. - Reuters


SINGAPURA - Angkatan Tentera Singapura (SAF) menawarkan bantuan kepada Malaysia melalui Pusat Fusion Maklumat (IFC) yang mempunyai rangkaian dengan 13 tentera laut dan 51 syarikat perkapalan awam di seluruh dunia bagi mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang.
SAF dalam satu kenyataan memberitahu, IFC telah mengaktifkan rangkaiannya dengan kapal-kapal awam untuk melaporkan sebarang pemandangan luar biasa di kawasan carian yang ditetapkan.
Lebih banyak syarikat dijangka akan dihubungi bagi menyertai usaha mencari besar-besaran tersebut.
Kata kenyataan itu, IFC juga mempunyai pegawai perhubungan antarabangsa dari 13 negara yang boleh membantu menyelaras tindakan dari Australia, Brunei, Perancis, India, Indonesia, Malaysia, Myanmar, New Zealand, Peru, Filipina, Thailand, Vietnam dan Amerika Syarikat.
Menurut SAF, pesawat peronda Tentera Laut Republik Singapura Fokker-50 yang dikerahkan ke Pangkalan Udara Malaysia di Butterworth pada 14 Mac lepas, telah kembali ke Singapura.
Katanya, pesawat itu kembali ke pulau berkenaan kelmarin selepas pihak berkuasa Malaysia menghentikan operasi mencari dan mengesan pesawat MH370 di Laut China Selatan dan Selat Melaka.
Tambah kenyataan itu, SAF bersedia memberikan bantuan lanjut bagi menyokong usaha mencari pesawat tersebut yang hilang sejak 8 Mac lalu. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0319&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2wLwuY5vk 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment