Saturday, May 31, 2014

20,000 hadiri malam kemuncak kempen Dyana


MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .



TELUK INTAN: Calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat, Dyana Sofya Mohd Daud menegaskan, pengundi di parlimen Teluk Intan membawa harapan besar rakyat Malaysia.

Katanya, Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan diharap menjadi platform untuk membuka lembaran baru politik di negara ini ke arah yang lebih baik.

Ujar Dyana, rakyat mahukan tembok perkauman yang diasaskan BN dapat dipecahkan dan membina jambatan perpaduan masyarakat pelbagai kaum tanpa mengira bangsa, agama serta warna kulit.

"Kita harus bersatu padu menolak politik perkauman, saya bertanding disini untuk runtuhkan tembok perkauman dan timbulkan politik baru.

"Saya yakin majoriti rakyat Malaysia sama seperti saya, sudah tibanya untuk kita bangkit untuk tuntut semula negara Malaysia," ujar anak muda itu.

Ujar beliau, pelbagai usaha dibuat bagi memecah belahkan perpaduan rakyat dengan isu perkauman namun DAP bersama Pakatan Rakyat sangat komited untuk membina jambatan perpaduan.

Perpaduan itu katanya sangat penting oleh rakyat dinegara ini dan tidak boleh menerima lagi politik berasaskan perkauman.

Dyana menyatakan, pilihan raya kecil itu adalah sangat penting untuk memalaysiakan kembali Malaysia yang telah dijajah dengan semangat perkauman oleh BN.

"Saya menyeru rakyat Teluk Intan bersama saya serta rakyat Malaysia menolak politik perkauman dan politik perpecahan," katanya ketika berucap dalam program ceramah kemuncak DAPdi Dataran Jalan Mahkota Teluk Intan.

Pihak penganjur menganggarkan kira-kira 20,000 hadir ke ceramah kemuncak itu sebelum waktu kempen tamat tepat jam 12.00 tengah malam tadi dan ianya mengakibatkan jalan di bandar Teluk Intan sesak.

Hadir sama dalam majlis itu antaranya Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Program tersebut meneggelamkan majlis yang turut diadakan berdekatan iaitu di dataran Menara Condong yang sangat hambar apabila tidak sampai 80 orang hadir. - HARAKAHDAILY 31/5/2014

No comments:

Post a Comment