Saturday, May 31, 2014

Masjid diserang di Republik Afrika Tengah


BANGUI 30 Mei - Sekumpulan lelaki semalam menyerang dan merosakkan sebuah masjid di daerah Lakengua di sini bagi membalas dendam terhadap serangan ganas di sebuah gereja Katolik, menurut agensi berita, Al-Jazeera.
Penyerang turut dilaporkan menghalang jalan raya dengan menggunakan tayar yang dibakar sebagai tanda membantah serangan bersenjata yang berlaku di Gereja Notre Dame de Fatima kelmarin dan menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh.
Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan kerana ketika kejadian masjid tersebut kosong.
Republik Afrika Tengah mengalami krisis keganasan agama dan etnik yang berlarutan selama setahun apabila kumpulan militan anti-Balaka melancarkan serangan ke atas penduduk Islam.
Krisis berkenaan menyebabkan berjuta-juta penduduk Islam berpindah keluar dari Bangui dan beberapa wilayah lain ke bahagian utara dan negara jiran, di samping mengakibatkan beribu-ribu rakyat terbunuh.
Dalam pada itu, tentera pengaman Afrika dan Eropah yang dihantar bagi meredakan ketegangan dilihat tidak mampu menghentikan keganasan dalam kalangan penduduk.
Ketua militan anti-Balaka, Sebastien Wenezoui menuduh pasukan keselamatan antarabangsa tidak mempedulikan keselamatan rumah-rumah keagamaan.
"Hal ini amat menyedihkan. Tentera Perancis dan Afrika yang dihantar sepatutnya melindungi orang awam," katanya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140531/lu_05/Masjid-diserang-di-Republik-Afrika-Tengah#ixzz33F12pWSu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment