Saturday, May 31, 2014

Tak percaya wujud unsur babi


Kuala Lumpur: Cadbury Malaysia tidak mempunyai sebab untuk mempercayai terdapat bahan berunsurkan babi di dalam dua coklat keluaran syarikat itu sebaliknya berpegang teguh kepada pensijilan halal yang diperolehi.

Ketua Unit Hal Ehwal Korporatnya Raja Zalina Raja Safran dalam satu kenyataan semalam berkata, walaupun telah menarik balik kedua-dua produknya itu secara proaktif dan sukarela, Cadbury sentiasa mempraktikkan standard tertinggi dalam pelabelan produknya.


“Cadbury Malaysia ingin memberi jaminan kepada para pengguna bahawa kami amat tertumpu terhadap menyelesaikan kebimbangan yang membawa kepada penarikan balik dua produk Cadbury Coklat Susu secara proaktif di Malaysia.



“Kami terus memberikan kerjasama positif kepada pihak berkuasa dalam masa menunggu keputusan analisis dari Kementerian Kesihatan yang dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi produk berkenaan dan rantai bekalan yang berkaitannya,” kata kenyataan itu.


Tambah beliau, syarikat turut menyokong tindakan positif Majlis Fatwa Kebangsaan bagi membantu membina pemahaman tentang produk Cadbury yang boleh dimakan tanpa was-was dan mengekalkan status halal.


“Kami juga kekal komited dalam mematuhi garis panduan peraturan halal JAKIM seperti yang ditetapkan Manual Prosedur Persijilan Halal Malaysia dalam menyediakan rangkaian produk yang berkualiti kepada pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/31

No comments:

Post a Comment