Friday, May 30, 2014

Abby Abadi akui dicerai melalui SMS, rakan suami


Abby Abadi
KUALA LUMPUR 29 Mei - Pelakon Abby Abadi memaklumkan kepada Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini hari ini bahawa suaminya, Muhammad Noor Farhan Che Bakar telah melafazkan cerai melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) berantai kepadanya pada awal bulan ini.
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 37, berkata, SMS yang menyebut "Aku ceraikan kau" dan "Mulai hari ini kau dah tiada apa-apa hubungan dengan aku" itu diterima pada pukul 10.25 pagi, 9 Mei lalu ketika dia berada di dalam kereta.
Ketika disoal oleh Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin sama ada Abby bertanya semula kepada suaminya tentang maksud SMS itu, dia sebaliknya meminta hakim itu bertanya sendiri kepada Muhammad Noor Farhan, 25.
"Saya tanya kamu bila kamu terima mesej itu untuk kepastian kenapa pulak kamu tanya saya soalan itu," tegas Shaiful Azli.
Abby dengan nada sebak kemudian berkata, pada ketika itu dia ada berbalas mesej namun tidak ingat sama ada bertanya mengenai maksud mesej berkenaan.
Dia berkata demikian ketika pertama kali hadir ke mahkamah berhubung permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan olehnya mengikut Seksyen 45 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 1984.
Menurut Abby, pada malam sebelum kejadian itu berlaku perselisihan faham antara mereka berdua yang berlarutan sehingga pagi kerana suaminya tidak pulang ke rumah dan komunikasi hanya dibuat melalui SMS.
Ujarnya, selepas menerima SMS itu mereka tidak pernah rujuk atau berbaik semula dan tidak lagi tinggal bersama.
Menjawab soalan hakim, sama ada sebelum ini suaminya pernah melafazkan cerai, pelakon itu berkata, ia pernah berlaku tetapi mereka telah berbaik semula.
Abby memberitahu, perkara itu diketahui melalui rakan suami dan ia telah dirujuk kepada ulama yang mengesahkan bahawa jatuh talak tetapi mereka telah berbaik semula.
"Kalau kamu sudah berbaik pun, kamu kena failkan kerana mahkamah kena tahu berapa jumlah talak sekarang kalau tidak sahkan yang ini akan tergantung dan tidak semestinya semua (lafaz) jatuh talak, sekira lafaz sah, yang ini bertambah talak jika sabit," kata Shaiful Azli.
Sementara itu Muhammad Noor Farhan mengesahkan keterangan yang diberi oleh isterinya itu dan dia menghantar SMS tersebut dengan niat untuk bercerai dengan Abby.
"Saya yang taip dan hantar SMS itu semasa dalam kereta dan selepas itu kami tinggal berasingan sehingga sekarang," katanya dengan tenang.
Dia turut mengesahkan sebelum kejadian tersebut dia pernah melafazkan perceraian terhadap Abby tetapi belum disahkan mahkamah.
Setelah mendengar keterangan kedua-dua pihak, Shaiful Azli kemudian memutuskan untuk menangguhkan kepada 11 Jun ini prosiding permohonan pengesahan lafaz cerai melalui SMS itu sehingga lafaz perceraian pertama difail dan disahkan oleh mahkamah.
Beliau turut memerintahkan lafaz perceraian pertama itu difailkan pada hari ini.
Sementara itu Abby yang ditemui para pemberita di luar mahkamah berkata, dia tidak menyangka perkahwinan kali ini berakhir sesingkat ini.
"Saya sayang sangat-sangat dia tetapi tidak nampak jalannya, saya tidak diberi ruang untuk perbetulkan keadaan kerana dia tidak balik," katanya.
Namun begitu katanya, dia reda walaupun perkahwinan yang berlangsung kira-kira 10 bulan itu berakhir sekelip mata.
Dia juga berkata tidak dapat memberi jawapan sama ada wujud pihak ketiga sehingga menyebabkan rumahtangganya runtuh.
Abby yang berjubah dan memakai tudung serba hitam hadir dengan ditemani dua anaknya serta seorang rakan manakala suaminya berkemeja putih dan berseluar kelabu turut ditemani rakannya.
Mereka tiba di mahkamah sebelum pukul 9 pagi secara berasingan dan selepas prosiding itu, Muhammad Noor Farhan bergegas meninggalkan mahkamah dengan menaiki kenderaan mewah BMW.
Abby bernikah dengan suaminya yang 13 tahun muda daripadanya setelah hidup bersendirian selama lima tahun.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga secara rahsia pada 9 Julai 2013 di selatan Thailand setelah berkenalan selama dua minggu.
Abby pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor Norman Hakim pada 8 Januari 2002 dan bercerai pada 18 September 2008.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 10, Marissa Dania Hakim, 8, dan Maria Danisha Hakim, 5.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140530/ma_02/Abby-Abadi-akui-dicerai-melalui-SMS-rakan-suami#ixzz339TVaxKF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment