Friday, May 30, 2014

Tiada pilihan raya dalam tempoh terdekat


BANGKOK 29 Mei - Kerajaan junta tentera Thailand hari ini menyatakan pilihan raya umum tidak akan diadakan dalam tempoh terdekat ini, selepas seminggu tentera merampas kuasa pentadbiran negara.
Timbalan Ketua Turus Tentera, Leftenan Jeneral Chatchalerm Chalermsukh berkata, junta perlu memastikan keadaan dan semua persengketaan dipulihkan terlebih dahulu sebelum pentadbiran dikembalikan kepada kerajaan awam.
"Kerajaan junta mahu mewujudkan keadaan terbaik bagi membolehkan Thailand mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai keadaan terbaik yang diperlukan untuk melaksanakan pilihan raya, namun menyatakan tentera mahu melihat perdamaian dan menamatkan konflik politik selepas bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra menyandang jawatan itu pada 2001.
"Saya hendak tanya anda berapa lama untuk pulihkan perpecahan antara dua kumpulan yang berlaku sejak 10 tahun lalu.
"Kedua-dua pihak tidak suka antara satu sama lain, tetapi kami mahu situasi kekal tenang dan aman. Kami perlu satu tempoh masa untuk semua pihak bertenang," katanya.
Panglima Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha menggulingkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri sementara, Niwatthamrong Boonsongpaisan pada 22 Mei lalu bagi menamatkan tunjuk perasaan yang merosakkan ekonomi negara ini dan meningkatkan kebimbangan ekoran keadaan huru-hara tersebut.
Amerika Syarikat dan sekutunya mengkritik rampasan kuasa tersebut dan menggesa pentadbiran negara dikembalikan mengikut prinsip demokrasi. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140530/lu_05/Tiada-pilihan-raya-dalam-tempoh-terdekat#ixzz339O1pseB
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment