Friday, May 23, 2014

Kumpulan Baju Merah mahu teruskan bantahan


BANGKOK 22 Mei - Ketua kumpulan Baju Merah, Jatuporn Prompan berikrar akan meneruskan tunjuk perasaan di wilayah Nakhon Pathom, pinggir Bangkok walaupun tentera melakukan rampasan kuasa bagi mengawal kerajaan.
"Adakah anda akan melawan atau tidak? Kami tidak akan berganjak.
"Jangan panik kerana kita telah menjangkakan perkara ini (rampasan kuasa)," katanya kepada penyokong Baju Merah yang sebelum ini mengugut untuk menentang rampasan kuasa tentera.
Terdahulu, laporan Reuters menyebut, tentera Thailand melepaskan tembakan meriam air bagi menyuraikan beribu-ribu penunjuk perasaan prokerajaan atau dikenali sebagai kumpulan Baju Merah yang berkumpul di Nakhon Pathom, beberapa jam selepas rampasan kuasa diumumkan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Prayuth Chan-ocha.
Jurucakap tentera, Thanawut Wichaidit berkata, seorang pemimpin aktivis yang setia kepada bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, turut ditahan dalam kejadian berkenaan.
Bagaimanapun, berita itu tidak dapat disahkan.
Komander Angkatan Tentera Darat, Jeneral Teerachai Nakwanit pula berkata, pihaknya telah mengerahkan askar ke lokasi bantahan bagi mengiringi penunjuk perasaan keluar daripada kawasan tersebut.
"Kami telah menghantar tentera dan kenderaan untuk membantu penunjuk perasaan mengosongkan kawasan bantahan," katanya. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140523/lu_03/Kumpulan-Baju-Merah-mahu-teruskan-bantahan#ixzz32UKuP1Os
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment