• Perintah berkurung diisytihar di seluruh Thailand

BANGKOK - THAILAND. Hanya beberapa jam selepas rampasan kuasa diisytihar semalam, tentera Thailand mengumumkan beberapa langkah seperti perintah berkurung dan menghentikan program biasa dalam televisyen.

Majlis Pengekalan Keamanan dan Ketenteraman Awam, yang diwujudkan selepas rampasan kuasa itu, akan menyelia keadaan di negara itu.

Majlis itu mengumumkan perintah berkurung di seluruh negara mulai 10 malam hingga 5 pagi dan kesemua stesen radio dan televisyen diarah menghentikan rancangan seperti biasa.

Sebaliknya stesen siaran dan saluran program asing perlu menyiarkan bahan yang dibekalkan oleh tentera dengan sebahagian besar adalah lagu-lagu patriotik dan pengumuman oleh tentera dari masa ke semasa.

Majlis itu turut mengumumkan bahawa kerajaan sementara dibubarkan dan Perlembagaan digantung tetapi Dewan Senat, mahkamah dan pertubuhan badan-badan bebas boleh meneruskan fungsi masing masing.

Perdana Menteri sementara Niwutthamrong Boonsongpaisan dan anggota Kabinet diarah melaporkan diri kepada majlis itu malam tadi.

Berikutan penangkapan pemimpin tunjuk perasaan daripada kumpulan penyokongdan menentang kerajaan, penunjuk perasaan dilihat mula meninggalkan kubu masing-masing petang semalam.

Rampasan kuasa itu diumumkan oleh Panglima Tentera Thailand Jen Prayuth Chan-ocha semasa mengadakan mesyuarat dengan pihak yang terbabit dalam konflik politik negara itu termasuk kerajaan sementara, Suruhanjaya Pilihanraya, pemimpin kumpulan penyokong kerajaan dikenali sebagai 'Baju Merah', pemimpin menentang kerajaan dan Jawatankuasa Pembaharuan Demokrasi Rakyat (PDRC).

Menurut akhbar Nation memetik sumber dalam berita atas taliannya, Jen Prayuth mengisytiharkan rampasan kuasa selepas Menteri Keadilan sementara Chaikasem Nitisiri, yang mengetuai barisan kerajaan sementara, berkata kerajaan akan berundur.

Jen Prayuth dikatakan membangkitkan soalan selepas mesyuarat itu kecoh apabila tiada pihak mahu melepaskan tuntutan masing-masing.

Bagaimanapun, kumpulan menentang kerajaan nampaknya gembira dengan perkembangan terbaru itu.

"Ini adalah kejayaan kami. Saya menyertai bantahan hampir empat bulan," kata Shahrutal Phachai, seorang anggota PDRC kepada Bernama di salah sebuah kubu kumpulan itu di Ratchadumnoen Avenue di sini.

"Saya tahu rampasan kuasa ini bukan cara yang betul untuk menyelesaikan konflik politik tetapi ia lebih baik daripada tidak melakukan sebarang usaha," katanya yang menunggu bas untuk pulang ke rumah selepas pemimpin PDRC menghentikan bantahan susulan rampasan kuasa itu.

Seorang lagi penyokong kumpulan menentang kerajaan, Taleb Mudmod, 60, seorang petani dari Surathani, wilayah selatan Thailand, berkata beliau amat gembira kerana tentera mengambil tindakan untuk menyelesaikan konflik selepas kerajaan sementara tidak lagi mempunyai kuasa.

"Saya percaya tidak ada keganasan selepas rampasan kuasa," kata Taleb yang sedang menunggu bas untuk pulang ke kampungnya selepas beberapa bulan menyertai bantahan itu.

Bagaimanapun, penyokong 'Baju Merah' di Jalan Aksa di pinggir ibu kota, mula pulang ke rumah dengan suasana suram selepas kerajaan sementara yang disokong oleh mereka dibubarkan. - Bernama