Saturday, July 5, 2014

5,000 tan makanan dibuang tiga hari berpuasa


MEKAH 4 Julai - Masalah pemba­ziran makanan sekali lagi meng­hantui Maj­lis Perbandaran Mekah pada Ramadan kali ini, apabila hampir 5,000 tan sisa makanan dibuang dalam tempoh masa tiga hari berpuasa sahaja.
Laman web Arab News mela­porkan, kerajaan Arab Saudi memperuntukkan sebanyak 20 bilion Riyal (RM16.99 bilion) pada bulan Ramadan untuk menyediakan makanan, berbanding 6 bilion Riyal (RM5.1 bilion) pada bulan-bulan lain.
Seorang pegawai perbandaran, Osama Al-Zaituny berkata, pihaknya menempatkan 45 pemampat sisa makanan di tengah bandar raya ini berhampiran Masjidilharam selain mengupah 8,000 tukang cuci pada bulan ini.
Sebelum ini, Kementerian Per­da­gangan dan Industri pernah meluahkan kebimbangan apabila hampir 45 peratus sisa buangan pada bulan Ramadan merupakan bahan makanan, dengan 80 peratus makanan yang disediakan tidak berkhasiat.
Menurut satu kajian yang dija­lankan oleh Universiti Raja Saud, setiap hari 4,500 tan sisa makanan dibuang di Arab Saudi.
Kajian itu turut menunjukkan 30 peratus daripada empat juta makanan yang disediakan ketika Ramadan melibatkan peruntukan sebanyak 1.2 bilion Riyal Saudi (RM1.02 bilion) dibuang dan saintis sosial menyifatkannya sebagai ‘satu tabiat yang tidak boleh diterima’.
Ekoran masalah berkenaan, pegawai Kementerian Hal Ehwal Islam menggesa supaya penduduk memasak dalam kuantiti yang sedikit untuk berbuka puasa.
Menurut laporan, Majlis Per­ban­daran Qassim merancang un­tuk membina sebuah kilang baja organik yang diperbuat daripada sisa makanan di Buraidah.
Pakar kesihatan berkata, orang ramai cenderung untuk membeli lebih banyak makanan pada bulan Ramadan dan mereka lebih gemar memasak makanan baharu untuk berbuka puasa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140705/lu_05/5000-tan-makanan-dibuang-tiga-hari-berpuasa#ixzz36XaSFM5s
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment