Saturday, July 12, 2014

Anggota TLDM bebas tuduhan militan - Abdul Aziz


KUALA LUMPUR 11 Julai - Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 13 Jun lalu di Sandakan, Sabah atas dakwaan mempunyai kaitan dengan kumpulan militan telah dibebaskan tanpa syarat semalam.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, pembebasan anggotanya daripada dakwaan tersebut merupakan satu berita gembira sekali gus dapat mengembalikan imej dan nama baik TLDM.
"Penahanan anggota tersebut memberi tamparan hebat kepada TLDM sebagai sebuah pasukan keselamatan negara dan pembebasan anggota tersebut dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kami.
"Anggota tersebut telah dibebaskan di Balai Polis Sandakan semalam dan akan kembali bertugas seperti biasa sementara seorang lagi anggota yang ditahan akan dibebaskan dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan rakaman ucapan Hari Raya Aidilfitri di Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Sebelum ini, PDRM menahan dua lelaki terdiri daripada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan TLDM kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan baharu yang ditumpaskan baru-baru ini dalam serbuan di Perak dan Sabah.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata, bagi mengelakkan kejadian sama berulang, TLDM kini melakukan pemantauan rapi terutama di setiap unit di kawasan Sabah seperti di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Semporna.
"Kami bimbang kemungkinan terdapat anggota lain yang menjadi dalang dengan memberikan kerjasama kepada aktiviti militan dalam negara ini," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140712/je_02/Anggota-TLDM-bebas-tuduhan-militan---Abdul-Aziz#ixzz37Ce520kV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment