Thursday, July 31, 2014

PAS Selangor nafi terbabit isu WhatsApp


2014/07/31
Shah Alam: PAS Selangor menafikan terbabit dalam cadangan dikemukakan Dr Mohd Zuhdi Marzuki, yang mahu mereka keluar daripada pakatan pembangkang serta membentuk kerajaan Selangor bersama UMNO.

Setiausahanya, Mohd Khairuddin Othman, berkata pandangan Pengarah Operasi, Pusat Penyelidikan PAS Pusat itu tidak ada kena mengena dengan PAS negeri serta meminta orang ramai tidak mengaitkan isu berkenaan dengan pihaknya.


Setia bersama pakatan

“PAS Selangor tidak pernah terbabit dalam mana-mana perbincangan untuk meninggalkan pakatan rakyat.

“PAS Selangor tetap setia bersama pakatan.

“Pandangan yang dibuat oleh Mohd Zuhdi tidak memberi kesan kepada PAS Selangor dan pandangan yang dibuat olehnya adalah sematamata pendapat peribadi beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu mesej melalui aplikasi WhatsApp di sini, semalam.
Mohd Khairuddin berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PAS Selangor tidak pernah melompat parti menyertai UMNO atau Barisan Nasional (BN) dan rekod itu dikekalkan sampai bila-bila.

Kelmarin, Mohd Zuhdi mengakui ada mencadangkan PAS Selangor keluar daripada pakatan pembangkang dan membentuk Kerajaan Selangor bersama UMNO.

Malah, cadangan analisis senario itu mendapat sokongan daripada sekurang-kurangnya 10 individu di dalam kumpulan WhatsApp Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, termasuk yang dikenali rapat dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

No comments:

Post a Comment