Thursday, July 31, 2014

PBB perlu kawal senjata antipesawat


MONTREAL, Kanada - Para pegawai aviasi sepakat menggesa pelaksanaan hebahan ancaman penerbangan lebih baik di samping meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mewujudkan undang-undang bagi mengehadkan penggunaan senjata antipesawat.
Perkara tersebut dinyatakan pada satu mesyuarat tergempar bertempat di sini kelmarin bagi membincangkan tragedi Penerbangan Malaysia MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Raymond Benjamin dan Pengarah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), Tony Tyler kemudian memberitahu satu sidang akhbar bahawa dua langkah itu perlu segera dilaksanakan bagi mengatasi beberapa kelemahan berkaitan keselamatan penerbangan awam susulan nahas MH17.
"MH17 membuktikan persenjataan antipesawat canggih dan berkuasa kini berada dalam tangan entiti bukan kerajaan," kata Tyler yang mewakili 240 syarikat penerbangan.
"Pesawat awam adalah alat keamanan dan tidak sepatutnya menjadi sasaran senjata perang," tambahnya.
Menurut Tyler, sebelum ini terdapat konvensyen antara bangsa bagi mengawal senjata kimia, nuklear dan biologi.
"Namun, sehingga kini tiada undang-undang atau konvensyen antarabangsa yang mempertanggungjawabkan kerajaan berhubung aspek pengurusan, pengeluaran dan penggunaan senjata antipesawat," ujarnya.
Beliau seterusnya berkata, syarikat penerbangan pula memerlukan data yang tepat lagi jelas untuk menentukan masa dan lokasi selamat bagi melakukan penerbangan.
"Dan dalam kes MH17, penerbangan itu diberitahu bahawa laluan udara pada ketinggian melebihi 10,000 meter melintasi Ukraine adalah selamat tetapi sekarang kita semua tahu betapa silapnya maklumat itu," jelasnya.
Pengarah IATA tersebut berkata, tanggungjawab untuk membekalkan maklumat itu terletak di bahu kerajaan.
"Tiada lagi alasan untuk tidak melakukannya," kata Tyler. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0731&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz392ZgJ6bF 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment