Tuesday, August 26, 2014

77 keluarga pening


Kuala Lumpur: Nasib 77 keluarga Kampung Puah Seberang, Sentul di sini menjadi persoalan apabila penempatan mereka di bawah status tanah rizab Melayu sejak 10 Januari 1916 akan dimajukan sebagai projek pembangunan bandar dan diarahkan berpindah.
Wakil penduduk, Ahmad Daud Mohd Ali, 62 berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan notis tempoh berpindah sehingga penghujung bulan ini dan ditawarkan projek perumahan rakyat (PPR) di Bukit Jalil.

“DBKL sebenarnya sudah meminta kami berpindah sejak 1990-an, tetapi hanya segelintir berpindah manakala masih ramai yang mahu kawasan ini dikekalkan,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, DBKL mempunyai perancangan sebelum ini membangunkan kawasan penempatan berkenaan sebagai projek ‘River of Life’ iaitu mencantikkan dan melebarkan sungai untuk tujuan pelancongan, projek takungan banjir dan pembinaan Lebuh raya Duta-Ulu Klang (DUKE).

“Pada 4 Jun lalu, satu perjumpaan diadakan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib untuk berbincang lanjut, tetapi akhirnya membuat keputusan sama ada mahu atau tidak, kami kena berpindah dan kami membantah,” katanya.

Katanya, hak tanah rizab Melayu perlu dipertahankan selepas penduduk di situ berhijrah memajukan kawasan penempatan berkenaan ketika Datuk Seri Harun Idris sebagai Menteri Besar Selangor.
Foto
AHMAD menunjukkan notis perobohan pada rumah penduduk.
“Ketika Tan Sri Ahmad Fuad Ismail sebagai Datuk Bandar, kami pernah diajak berbincang bersama mengusulkan kertas cadangan dan DBKL melantik syarikat perunding bermula 2010 untuk mewujudkan kampung tradisi warisan Melayu yang kekal dalam bandar,” katanya.

Namun, bekas pesara tentera itu menyatakan cadangan pembangunan kampung tradisi warisan Melayu ini hanya sepi selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan pertukaran Datuk Bandar Kuala Lumpur.
“Keputusan pembangunan ini digantung sehingga projek mega masuk. Pada pertemuan 4 Jun lalu, kami juga berdialog dengan Datuk Bandar dan meminta laporan diberikan pada penduduk, tetapi tiada,” katanya.

Katanya, mengikut laporan syarikat perunding berkenaan pada tahun lalu menyatakan Kampung Padang Balang, Bandar Dalam dan Sungai Merali dikekalkan sebagai kampung tradisi warisan manakala Kampung Puah Lembah, Kampung Puah Seberang dan Kampung Chubadak tidak dimasukkan tanpa alasan diberikan.

Ahmad Phesal ketika dihubungi menyatakan perpindahan penduduk di kawasan itu perlu dilakukan untuk membolehkan projek River of Life diteruskan.

“Kami perlu pindahkan mereka dan ianya membabitkan projek Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) untuk pinggir sungai dan kawasan kolam takungan.

“Projek ini adalah kepentingan pembangunan Kuala Lumpur dan rumah disediakan DBKL,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/26

No comments:

Post a Comment