Tuesday, August 12, 2014

Barangan peribadi dibawa bersama jasad


Oleh Mohd Husni Mohd Noor, Fardy Bungga, Mohd Fadly Samsudin dan Aizat Sharif

Kajang: Barangan peribadi milik mangsa nahas penerbangan MH17 dari Malaysia akan dipulangkan semula bersama-sama mayat kepada keluarga waris tidak lama lagi.

Bagaimanapun perkara itu bergantung kepada kejayaan pasukan forensik di Belanda melakukan proses pengecaman berdasarkan maklumat dikumpul dari keluarga atau waris pemilik barangan itu. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sejumlah besar barangan peribadi milik mangsa yang banyak bertaburan di sekitar kawasan nahas sudah dikumpulkan pihak berkuasa Ukraine dan dihantar ke Belanda untuk proses pengecaman.


“Proses itu bagaimanapun agak rumit dan memakan masa kerana barangan peribadi mangsa yang dikumpulkan sangat banyak dan perlu diteliti satu persatu,” katanya selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Biasiswa Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)-Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di Bandar Sungai Long, semalam.



Selain itu juga beliau memberitahu bahawa laporan analisis kotak hitam pesawat MH17 itu dijangka dikeluarkan dalam minggu ini.


Beliau menambah, sehingga kini kerajaan Malaysia masih berhubung dengan Belanda untuk mengetahui perkembangan terkini proses bedah siasat dan mengenal pasti identiti mangsa nahas penerbangan MH17.


“Untuk krisis ini, kita mempunyai sekretariat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan setiap jam 6 petang kita akan mengadakan perbincangan dengan pihak Belanda,” katanya.

Beliau berkata fokus Malaysia kini terarah kepada proses bedah dan pengecaman mangsa nahas di Hilversum, Belanda, selepas operasi siasatan dan pengumpulan bukti di lokasi nahas MH17 dihentikan susulan pertempuran antara tentera Ukraine dan kumpulan pemberontak pro-Russia.


Sementara itu, Liow memberitahu, dia akan ke Australia pada 19 Ogos depan untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Trus bagi meneliti perkembangan pencarian dasar laut ke atas penerbangan MH370.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/12

No comments:

Post a Comment