Tuesday, August 12, 2014

Filipina, MILF capai kata sepakat


Gambar fail bertarikh 27 Mac lalu, memaparkan sebahagian anggota MILF melaungkan 'Allahuakbar ketika meraikan majlis menandatangani perjanjian damai dengan Kerajaan Filipina di Kem Darapanan, bandar Sultan Kudarat, selatan Filipina. - AFP
MANILA 11 Ogos - Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) mencapai kata sepakat, semalam berhubung beberapa perkara dalam merangka draf rang undang-undang baharu bagi menamatkan pemberontakan berdarah di selatan negara ini.
Kerajaan dan MILF dalam satu kenyataan bersama berkata, mereka komited untuk melengkapkan draf rang undang-undang baharu itu sebelum 18 Ogos ini, bagi memboleh-kannya dibentang kepada Kongres dalam tempoh terdekat.
"Panel perunding mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara dan akan saling membantu menghadapi beberapa cabaran dan isu yang masih lagi belum diselesaikan," jelas kenyataan tersebut.
Kenyataan bersama itu turut menyatakan bahawa kedua-dua belah pihak sudah membincangkan tentang polisi autonomi dan pentadbiran keadilan, termasuk peruntukan bajet daripada Kerajaan Pusat ketika perbincangan tertutup berkenaan perkara itu diadakan di selatan bandar Davao, semalam.
Ketika ditanya tentang apakah cabaran dan isu yang masih belum diselesaikan, Ketua Perunding MILF, Mohagher Iqbal berkata, cabaran yang dihadapi kini adalah bagaimana untuk mula membentuk draf undang-undang serta masalah 'polisi autonomi dan cara bagaimana untuk berhubung dengan kerajaan'.
"Kami berjaya membincangkan banyak perkara, namun begitu masih banyak yang belum diselesaikan," ujarnya, sambil menambah, panel perunding kerajaan dan MILF akan mengadakan pertemuan lagi, namun tidak menyatakan bila run-dingan itu akan diadakan.
Perjanjian damai yang ditandatangani oleh Presiden, Benigno Aquino III bersama MILF pada Mac lalu memperuntukkan undang-undang baharu akan dibentuk bagi mewujudkan sebuah wilayah autonomi Islam pada 2016.
Sebagai balasan, kira-kira 12,000 anggota MILF akan melucutkan senjata dan berjanji membantu Kerajaan Pusat membangunkan kawasan di selatan negara ini daripada masalah kemiskinan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140812/lu_05/Filipina-MILF-capai-kata-sepakat#ixzz3A82OeQ6D
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment