• Abdul Aziz BariAbdul Aziz Bari

SHAH ALAM – Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu menunjukkan bukti bahawa beliau mendapat sokongan majoriti sebelum kekal sebagai Menteri Besar Selangor walaupun telah mendapat perkenan sultan.

Menurut pakar undang-undang dan perlembagaan, Prof Dr Aziz Bari, Abdul Khalid perlu mendapat sekurang-kurangnya 29 sokongan Adun sebelum merujuk fasal Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.

“Betul dari segi undang-undang , bukan saja Undang-undang Tubuh malah dalam Perlembagaan turut dinyatakan. Beliau boleh lantik tidak kurang dari empat tapi tidak lebih 10 (Exco). Maknanya, kalau dah ada empat orang, sudah boleh lah (mentadbir).

“Tapi sebelum itu, kena ada majoriti sokongan Adun iaitu sekurang-kurangnya 29 sokongan dan kedua baru boleh lantik yang empat orang itu,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Dalam sidang media khasnya hari ini, Abdul Khalid menyebut bahawa Artikel 53 (2) (b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan supaya Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), mesti sekurang-kurangnya empat orang ahli ataupun sehingga 10 orang ahli.

“Oleh kerana Pas telah menyatakan sokongan dan telah memberitahu media bahawa keempat-empat ahli Pas akan bersama-sama dalam Exco kerajaan negeri di bawah kepimpinan saya, maka saya boleh meneruskan mesyuarat Exco kerajaan negeri,” kata Abdul Khalid.

Namun menurut Aziz Bari, sekiranya PR dapat mengemukakan 29 Adun yang menolak Abdul Khalid, Abdul Khalid perlu berundur dari jawatan menteri besar.

“Sekarang ini terpulang kepada PR untuk buktikan kenyataan Khalid tidak betul atau tidak menyatakan keadaan sebenar.

“Selagi PR berdiam dan tak kata apa-apa atas dakwaan Khalid, beliau akan tetap duduk di situ. Itu boleh dinafikan kalau ada 29 Adun yang kata mereka menolak Khalid,” katanya.

Senada dengan beliau, Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Prof Dr Jayum Jawan turut menyuarakan perkara sama.

“Kedudukan seorang menteri besar berasaskan sokongan majoriti dalam Dun bukan berasaskan kepada sokongan Exco.

“Jika enam ahli Exco menyokong dia sekalipun, saya rasa itu bukan isu. Beliau tidak boleh menggunakan perkara itu untuk mengekalkan jawatannya,” katanya.

Malah beliau juga mendakwa Abdul Khalid merujuk kepada peruntukan undang-undang yang kurang tepat.

“Saya lihat sidang media tadi, beliau merujuk kepada soal pentadbiran dan politik berbeza. Soal pentadbiran itu boleh diuruskan setiausaha kerajaan negeri. Tak ada menteri besar pun, pentadbiran boleh diuruskan sementara tidak ada menteri besar itu.

“Jadi, saya rasa beliau merujuk kepada peruntukan yang tidak begitu tepat,” katanya.

Menurut Jayum, cara bagi mengekalkan jawatannya sebagai menteri besar adalah mendapatkan kepastian bilangan sokongan majoriti dalam Dun.

Katanya, PR pula perlu mengusulkan undi tidak percaya dalam persidangan Dun bukannya menyerang peribadi Abdul Khalid.

“Saya rasa tidak ada lagi yang boleh PR lakukan untuk mendedahkan sesuatu berkaitan peribadi dan sebagainya. Langkah terakhir adalah mengusulkan undi tidak percaya dalam persidangan Dun.  Tuduhan itu dan ini tidak akan membawa kesudahan yang muktamad.

“Atau Khalid boleh memohon kepada sultan agar dibubarkan Dun kerana beliau sudah tidak lagi mendapat kepercayaan ahli dewan. Itu bergantung pada budi bicara sultan sama ada bersetuju dibubarkan atau memohon orang lain yang diberi kepercayaan majoriti untuk dilantik,” katanya.

Dalam pada itu, Aziz Bari pula berpendapat, penyataan menolak Abdul Khalid itu tidak perlu dilakukan dalam sidang Dun sebaliknya boleh dilakukan di mana-mana.

“Tapi saya rasa memadai untuk beri isyarat kepada Khalid sekiranya 29 Adun itu pergi mana-mana pentas pun boleh.

“Sebaiknya dalam dewan tapi kalau tak boleh atas sebab apa sekalipun, buatlah surat  yang ditandatangani dan edar kepada rakyat. Boleh juga,” katanya.

Abdul Khalid memberitahu telah menjelaskan kepada Sultan Selangor bahawa di sebalik pemecatannya sebagai ahli PKR, beliau masih memperoleh kepercayaan majoriti Adun.