• Ismail Sabri batal kad kredit asing tanda protes

KUALA LUMPUR - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub hari ini membatalkan penggunaan kad kredit sebuah bank asing sebagai tanda protes terhadap bank berkenaan yang menutup akaun pertubuhan yang menyokong perjuangan rakyat Palestin baru-baru ini.
  
Ismail dalam akaun instagramnya @ismailsabri60 memuat naik gambar beliau menggunting kad kredit berkenaan bersama sekeping lagi gambar surat pemberitahuan bahawa beliau mahu membatalkan akaun itu berkuat kuasa serta-merta.
  
"(Ini) Protes terhadap bank itu yang menutup akaun pertubuhan yang menyokong perjuangan rakyat Palestin...saya sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin yang ditindas Israel," katanya dalam kapsyen yang dimuat naik bersama-sama gambar tersebut.
  
Tindakan Ismail Sabri itu mendapat banyak komen positif daripada pengikutnya yang rata-rata memuji tindakannya selain status berkenaan juga telah dikongsi ke beberapa laman sosial lain antaranya Twitter dan Facebook. - Bernama