Wednesday, August 6, 2014

Nahas MH17: Mahu kubur bertanda buat tatapan keluarga

Nahas MH17: Mahu kubur bertanda buat tatapan keluarga2014/08/06 - 06:48:41
“Walau apa pun keadaannya, biarlah jenazah dapat dibawa pulang ke tanah air supaya kuburnya bertanda untuk tatapan kami, terutama anaknya, Abderrahman yang baru berusia sembilan bulan”.

Itu harapan Dr Hanapi Mohd Noor, 67, bapa kepada pembantu juruterbang pesawat MH17, Ahmad Hakimi, 29, sambil turut memaklumkan, keluarga mereka sudah dapat menerima pemergian mangsa dan reda dengan kejadian berkenaan.

Sebak lihat gambar


“Ini adalah ketentuan yang sudah ditetapkan dan kami tidak menyalahkan sesiapa. Alhamdulillah, kami sekeluarga terutama isteri saya sudah boleh menerima pemergian Hakimi, cuma kalau melihat gambarnya, kami sebak dan tidak dapat menahan air mata,” katanya.

Ketika ditemui di rumahnya di sini, bekas pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi awam ini berkata, pemergian anak lelaki tunggalnya itu begitu dirasai ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini kerana Hakimi rapat dengan keluarga terutama ibunya, Noriah Daud, 57.

“Sebelum Allahyarham berangkat ke Amsterdam (Belanda), beliau banyak menghias rumah ini termasuk menanam rumput di halaman. Walaupun sering bertugas di luar negara, masa cutinya hanya dihabiskan dengan keluarga seperti membawa kami semua keluar makan dan bersiar-siar,”katanya.

Katanya, anak ketiga daripada empat beradik itu yang menggemari makanan tradisional Kelantan seperti nasi kerabu serta nasi dagang selain masakan Pulau Pinang terutama nasi kandar, sepatutnya menyambut hari raya tahun ini bersama mereka di Melor, Kota Bharu, Kelantan.

No comments:

Post a Comment