Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua kiri) diambil keterangan oleh pihak polis dari Ibu Pejabat Daerah Ampang di ibu pejabat PKR, Petang Jaya , hari ini. - Foto Sinar Harian Online oleh NIZAM ZAIN.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua kiri) diambil keterangan oleh pihak polis dari Ibu Pejabat Daerah Ampang di ibu pejabat PKR, Petang Jaya , hari ini. - Foto Sinar Harian Online oleh NIZAM ZAIN.
PETALING JAYA - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara yang membuka semula kertas siasatan berhubung satu ceramah pada 2011 sedangkan tiga lagi pemimpin parti itu telahpun disoal siasat pada tahun sama.

Anwar menegaskan tidak sepatutnya pihak polis diarahkan mengambil keterangan beliau pada masa ini sedang tarikh pendengaran kes fitnah II itu semakin hampir.

"Siasatan kes ini telah dikendalikan sejak 2011, di mana pihak polis telah mengambil keterangan tiga pemimpin kami iaitu Mohamed Azmin Ali, Saari Sungib dan Amirudin Shaari.

"Kenapa mereka mengambil masa terlalu lama untuk menyiasat kes ini hingga terpaksa membuka semula kertas siasatan?

"Jelas pertuduhan Akta Hasutan ke atas saya mempunyai hubungan dengan pendengaran rayuan kes fitnah II dalam seminggu akan datang," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu disoal siasat di bawah Seksyen 4, Akta Hasutan 1948 berhubung satu ceramah beliau di Taman Melawati, Gombak pada 27 Mac 2011.

Anwar yang diambil keterangan lebih satu jam oleh pihak polis dari Ibu Pejabat Daerah Ampang ditemani peguamnya, N.Surendran dan Lathefaa Koya.

Dalam pada itu, Anwar mendakwa pertuduhan ke atasnya juga mempunyai kaitan dengan pendakwaan sama ke atas 20 individu sebelum ini di bawah Akta Hasutan termasuk peguam belanya, Surendran.

Pada 19 Ogos lalu, Surendren didakwa di bawah Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan mengenai keputusan Mahkamah Rayuan yang menyabitkan Anwar bersalah dalam kes fitnah II.

Surendran sekali lagi didakwa di bawah akta sama pada 28 Ogos lalu berhubung sebuah video di YouTube yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan kes tersebut.