Friday, September 12, 2014

Selamatkan MAS bermakna selamatkan 14,000 pekerjaan

KUALA LUMPUR: Penstrukturan semula Penerbangan Malaysia (MAS) melalui rombakan menyeluruh bukan sahaja untuk menyelamatkan syarikat penerbangan negara itu tetapi juga lebih 14,000 pekerjaan.
Bagi dua Ahli Parlimen yang mengikuti isu itu, penyusunan semula itu hanya boleh dilakukan melalui 'keazaman politik semata-mata' di peringkat tertinggi pentadbiran Najib untuk memberikan nafas baharu kepada MAS, yang jika tidak, mungkin terpaksa ditutup disebabkan oleh muflis akibat kerugian besar.
"Tidak ada tawaran atau bantuan lain, sama ada dari segi kewangan untuk disuntik ke dalam MAS atau untuk membeli MAS. Hanya tawaran Khazanah sahaja yang ada sekarang. Kalau syarikat lain tentunya sudah gulung tikar dan kita perlu sedar bahawa campur tangan kerajaan melalui Khazanah Nasional Bhd membolehkan 14,000 orang mengekalkan pekerjaan mereka," kata Datuk Ahmad Fauzi Zahari, ahli Parlimen Setiawangsa.
"Dan baki 6,000 atau 30 peratus dari tenaga kerja MAS juga akan dijaga kerana Khazanah akan melaburkan mereka dengan memberi 'kemahiran semula' dan kemudiannya diberi peluang bekerja di bawah kumpulan syarikat Khazanah," katanya.
Khazanah, cabang pelaburan strategik kerajaan, dan MAS bekerjasama dengan Scicom (MSC) Bhd dan Sutherland Global Services untuk melatih kakitangan MAS yang akan diberhentikan dalam langkah penyusunan semula besar-besaran manakala mereka yang memilih untuk tidak dilatih semula akan diberi pampasan.
Ahmad Fauzi berkata MAS sudah melalui tiga penyusunan semula sejak 10 tahun lalu, justeru pelan komprehensif lima tahun bernilai RM6 bilion yang diumumkan 29 Ogos lalu oleh Khazanah perlu menjadi yang terakhir.
Adalah tidak adil bagi kerajaan dan juga rakyat untuk terus membantu MAS, dan kegagalan bukan lagi pilihan. Selesaikanlah masalah MAS ini, kemudian bergerak ke hadapan dan jadi entiti yang menguntungkan.
"Dan apa yang paling penting sekali apabila MAS pulih, ia mesti didorong oleh pasaran dan beroperasi sebagai entiti komersial yang mana keputusan perlu dibuat berdasarkan daya maju perniagaan dan bukan berdasarkan sentimen," katanya.
Pandangan beliau turut dikongsi Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Manap yang mengatakan bahawa campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membolehkan sebahagian besar kakitangan dapat kekal manakala sesetengah akan dipindahkan ke syarikat dalam Khazanah apabila melalui latihan kemahiran semula.
"Pelan 12 perkara itu yang membabitkan pengurangan pekerjaan yang besar adalah satu keputusan yang amat menyakitkan tetapi adalah isyarat yang jelas bahawa keazaman politik pada tahap paling tinggi.
"Apa yang perlu diambil perhatian di sini ialah rancangan baik pulih ini mengelak laluan ke arah kebankrapan, dengan itu membolehkan bukan sahaja 14,000 orang mengekalkan pekerjaan mereka tetapi menjadi sebahagian daripada pasukan untuk membina MAS baharu menjelang 2020," kata Anuar.
Bagi Anuar, industri penerbangan sudah menjalani perubahan ketara dalam dekad yang lalu manakala syarikat penerbangan tambang rendah seperti AirAsia dan kemunculan syarikat baharu baru-baru ini, Malindo Air, telah menambah tekanan kepada MAS.
"MAS boleh melihat pengalaman syarikat penerbangan lain seperti Japan Airlines dan Garuda untuk mempercepatkan proses pemulihannya itu. Dan beberapa syarikat penerbangan sudah bangkit semula dan pulih daripada kesusahan mereka. Melangkah ke hadapan, sudah pasti bukan tugas mudah, perlu banyak kerja keras, komitmen dan toleransi," katanya.
Anuar menyamakan MAS dengan pesakit di unit rawatan rapi (ICU) yang cuba untuk kembali sihat dan dengan mengambil ubat yang pahit sahaja tidak cukup tanpa tangan, kaki dan bahagian-bahagian badan lain melalui perubahan untuk berfungsi kembali dengan sendiri.
Ahmad Fauzi berkata penyusunan semula kali ini lebih komprehensif dan meluas berbanding yang sebelum ini, dan ia benar-benar perlu diterima semua orang walaupun sukar.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak perlu lagi campur tangan jika MAS gagal lagi pada masa depan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment