Friday, September 12, 2014

Penstrukturan industri air Selangor bernilai RM9.13 bilion dimuktamad


MENTERI Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menyaksikan pertukaran perjanjian antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Siregar Abdullah dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Muhammad Khusrin Munawi (kanan) pada majlis menandatangani Perjanjian Utama bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Kerajaan Persekutuan dan Selangor hari ini memeterai perjanjian utama bagi memuktamadkan penstrukturan industri perkhidmatan bekalan air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Menerusi perjanjian utama itu, Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), sebuah entiti baharu yang sebelum ini dikenali sebagai Pengurusan Air Selangor, akan mengambil alih operasi dan penyelenggaraan loji rawatan air serta perkhidmatan pembekalan air yang sebelum ini dilakukan empat syarikat konsesi.
Memeterai perjanjian itu, Kerajaan Persekutuan diwakili Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi mewakili kerajaan Selangor manakala Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Suhaimi Kamaralzaman.
Hadir menyaksikan majlis itu Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Hadir sama pada majlis itu ialah beberapa anggota Kabinet Persekutuan termasuk Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, empat Exco kerajaan negeri Selangor serta pegawai kanan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor.
Dengan termeterainya perjanjian utama itu, Ongkili berkata Kerajaan Persekutuan yakin satu transformasi menyeluruh dapat dilaksanakan oleh Air Selangor Sdn Bhd yang akan menjadi nadi kepada perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi mewujudkan industri perkhidmatan air yang cekap, berdaya maju dan mapan.
Perjanjian Utama yang dimeterai itu adalah bagi memeterai persetujuan yang sudah dicapai kedua-dua pihak menerusi memorandum persefahaman (MoU) pada 26 Februari dan Perjanjian Mengenai Persefahaman (HoA) pada 1 Ogos lalu.
Menerusi perjanjian utama itu, Air Selangor Sdn Bhd mengambil alih tiga syarikat konsesi air negeri Selangor iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) dan pemegang lesen perkhidmatan iaitu Konsortium Air Selangor Sdn Bhd (KASB).
Ongkili berkata, PAAB menyediakan peruntukan RM1.68 bilion bagi memudah cara pengambilalihan syarikat konsesi iaitu SYABAS, PNSB dan ABASS oleh Air Selangor Sdn Bhd selaras dengan MoU dan HoA Air Selangor. Sebagai balasan, Kerajaan Negeri Selangor akan memindah milik aset air kepada PAAB secara pegangan pajakan selama 45 tahun dengan jumlah peruntukan yang sama.
PAAB adalah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) yang ditubuhkan pada Mei 2006 bagi melunaskan usaha Kerajaan Persekutuan menyusun semula industri perkhidmatan air di negara ini.
PAAB juga akan mengambil alih liabiliti syarikat konsesi dan pinjaman Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Selangor, SYABAS dan PNSB yang dianggarkan berjumlah RM7.45 bilion. Sebagai balasannya, Kerajaan Negeri Selangor akan memindah milik aset air kepada PAAB dengan jumlah yang sama secara pegangan pajakan selama 45 tahun.
Kemudian, PAAB akan memajakkan aset air yang sudah diambil alih kepada Air Selangor yang akan membayar sewa pajakan kepada PAAB pada kadar yang akan dirundingkan kedua-dua pihak dan dimeterai melalui Perjanjian Kemudahan dan Perjanjian Pajakan.
Beliau berkata, Air Selangor akan diberikan lesen perkhidmatan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air atau WSIA (Akta 655) bagi membolehkannya menjalankan aktiviti merawat dan mengagih air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Air Selangor juga akan diberikan lesen kemudahan di bawah WSIA bagi aset-aset air Selangor yang dipindah milik kepadanya oleh Kerajaan Negeri Selangor.
"Dengan termeterainya Perjanjian Utama pada hari ini, semua pihak terbabit perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan persetujuan yang dicapai dapat dilaksanakan dengan lancar dengan mengenepikan perbezaan fahaman politik demi kepentingan dan kebajikan rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ongkili berkata, pada masa sama pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2) akan terus dipantau melalui Jawatankuasa Khas Pelaksanaan Projek LRAL2 yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Datuk Menteri Besar Selangor.

No comments:

Post a Comment