Wednesday, October 29, 2014

11,000 Pemohon Suaka Politik Di Britain Masih Menanti


Diterbitkan: Rabu, 29 Oktober 2014 12:17 PM
Bandar raya London.

LONDON: Terdapat sekurang-kurangnya 11,000 pemohon suaka politik masih menanti di Britain sama ada mereka akan diberi perlindungan.
Kebanyakannya sudah menanti lebih dari tujuh tahun.
Kementerian Dalam Negeri yang melakukan proses tapisan dan penentuan terakhir telah meluluskan perlindungan ke atas 29,000 pemohon sejak 2007 tetapi masih terdapat 11,000  lagi permohonan yang belum diselesaikan, demikian menurut Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Rabu.
"Memang ini satu tekanan yang besar tetapi Kementerian Dalam Negeri perlu menyelesaikan masalah ini dengan segera," kata Pengerusi PAC, Margaret Hodge.
Kerajaan Konservatif pimpinan David Cameron, menyalahkan kerajaan Buruh sebagai punca masalah seumpama ini menjadi terjadi.
Kerajaan Buruh memerintah Britain sehingga 2010.
"Sistem imigresen yang kami warisi dari Kerajaan Buruh gagal berfungsi sepenuhnya dengan amalan korup dan penyalahgunaan kuasa dan ketidakupayaan untuk menangani isu seperti permohonan suaka politik, apatah lagi usaha untuk memulihkan kembali sistem yang korup ini memakan masa yang panjang," kata Menteri Imigresen dan Keselamatan James Brokenshire.
Kerajaan Konservatif pada Mac tahun lalu menutup Agensi Sempadan UK kerana kegagalan mereka untuk mengendalikan isu-isu tertunggak melibatkan permohonan suaka politik.
Sejak itu, tiga direktorat utama - Jabatan Imigresen dan Visa UK, Unit Penguatkuasaan dan Persempadanan Imigresen - telah mengambil alih tanggungjawab tersebut.
Bagaimanapun kes tertunggak masih tidak dapat dielakkan apabila 120 pegawai kes yang melibatkan jabatan-jabatan berkaitan terpaksa diberhentikan ekoran pemotongan bajet tahun lalu.
Pada masa yang sama, 175,000 orang pemohon yang kes mereka ditolak kini sedang menanti untuk dihalau keluar dari Britain.
Pada 2012, sejumlah 50,000 pemohon yang permohonan mereka telah ditolak didapati 'hilang' dari senarai dan tidak dapat dihubungi atau dikesan keberadaan mereka.

No comments:

Post a Comment