Wednesday, October 29, 2014

Kes Anwar: Dunia sedang memerhati Malaysia

MUHAMMAD FAIZAL|

Foto WAN ZAHARI |
PUTRAJAYA: Sebarang kesilapan khususnya dalam membuat keputusan berhubung kes fitnah II terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi imej buruk kepada negara ini.Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, kes Anwar telah menarik perhatian peringkat antarabangsa dan mereka sedang mengikuti perjalanan proses perbicaraan.

"Pada hari ini ramai dari kalangan pemerhati daripada negara jiran dan Eropah yang ada di mahkamah, yang secara peribadi memberi pandangan mereka bahawa apa yang berlaku ini sedang diperhati dunia antarabangsa.

"Malaysia menjadi tumpuan utama dalam kes Anwar, mereka ingin melihat perjalanan dan ketelusan tentang keadilan sistem kehakiman negara ini," katanya kepada Harakahdaily ketika ditemui di lobi Istana Kehakiman hari ini.

Bagaimanapun kata Syed Azman, beliau yakin hakim akan membuat keputusan yang terbaik dan Anwar akan mendapat keadilan yang sebenarnya.

"Semua pihak pasti sudah mengetahui tentang impak yang dihadapi jika keputusan itu dibuat melalui campur tangan politik," ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa PAS sentiasa memberi sokongan bukan sahaja kepada kes Anwar tetapi semua mereka yang berdepan ketidakadilan di negara ini.

Katanya, apa yang penting adalah memperjuangkan supaya sistem kahakiman negara benar-benar bebas dari campur tangan politik.

Semalam beliau turut turut hadir bersama-sama Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu bagi memberi sokongan terhadap Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hari ini beliau, Salahudin dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar antara wakil PAS yang hadir di Mahkamah Persekutuan bagi memberi sokongan moral kepada Anwar.
HARAKAHDAILY 29/10/2014

No comments:

Post a Comment