Wednesday, October 1, 2014

Kes Hasutan Pensyarah Dirujuk Ke Mahkamah Tinggi


Diterbitkan: Rabu, 1 Oktober 2014 2:32 PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pensyarah Undang-undang Universiti Malaya (UM) Profesor Madya Dr Azmi Sharom untuk merujuk kes hasutan yang dihadapinya ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Zanol Rashid Hussain membuat keputusan itu selepas meneliti permohonan Azmi, 45, untuk mendapatkan perintah supaya Mahkamah Sesyen merujuk kepada Mahkamah Tinggi bagi menentukan sama ada Seksyen 49(1) Akta Hasutan 1948, berperlembagaan atau sebaliknya.
Mahkamah juga membenarkan prosiding kes ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Sehubungan itu hakim menetapkan 7 Nov ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen.
Pada 17 Sept lalu, Azmi yang juga seorang peguam memfailkan permohonan untuk mendapat perintah agar Mahkamah Sesyen merujuk kepada Mahkamah Tinggi bagi penentuan keperlembagaan Seksyen 49(1) Akta Hasutan 1948.
Azmi juga memohon perintah agar pertuduhan yang dihadapinya digantung dan/atau dibatalkan.
Pada 2 Sept, Azmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menyebut perkataan menghasut berhubung krisis kerajaan negeri Perak 2009.
Dia dituduh menyebut perkataan menghasut itu di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), Jalan Hang Tuah di sini pada 12.30 tengah hari, 15 Ogos lepas.
Azmi, yang juga Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UM, turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu menerbitkan perkataan menghasut berhubung krisis sama, pada masa dan di tempat yang sama.
Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim manakala peguam Gobind Singh Deo mewakili tertuduh.
mstar

No comments:

Post a Comment