Lebih dikesali katanya, penyebaran gambar itu berlaku selepas kontroversi kempen ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ di Petaling Jaya yang dikritik hebat pelbagai pihak.
“Saya percaya ini adalah satu perkara yang betul-betul menghina umat Islam. Sewaktu isu belai anjing belum reda, tiba-tiba isu kedua pula timbul iaitu anjing dipakai serban dan jubah.
“Tujuan mereka ini nak hina ulama. Para ulama yang sentiasa beri pandangan yang baik kepada masyarakat, tiba-tiba dihina sebegitu rupa. Saya percaya ini agenda cukup menjijikkan dan langsung tak hormati para ulama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Multaqa' Ahli Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia 2014 yang disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, di sini hari ini.
Mengenai kempen menyentuh anjing, Mohd. Tamyes berharap kerajaan Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berwaspada bagi memastikan program seumpama itu tidak berulang pada masa akan datang.
Beliau tidak menolak kemungkinan isu terbabit sengaja ditimbulkan pihak tertentu bagi menutup beberapa isu terdahulu termasuk kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) dan Oktoberfest.
Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak pernah mengeluarkan sebarang surat kelulusan kepada penganjur terbabit mengadakan program seumpama itu.
Sebaliknya, kata beliau, apa juga keputusan mengenainya adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan PBT.
Beliau seterusnya menegaskan, perbuatan menyentuh atau membelai anjing adalah haram bagi umat Islam melainkan haiwan itu dilatih bagi tujuan kebaikan termasuk untuk memburu.