Friday, November 21, 2014

AS bebaskan lima tahanan Guantanamo

JUMAAT, 21 NOVEMBER 2014 @ 9:26 AM

 
WASHINGTON: Amerika Syarikat membebaskan lima tahanan dari pusat tahanannya di Teluk Guantanamo, Cuba, termasuk tahanan pertama Yaman yang dipindahkan sejak 2010.

Tiga tahanan dihantar ke Republik Georgia manakala dua lagi dihantar ke Slovakia.

Keputusan membebaskan empat tahanan Yaman itu dan seorang Tunisia menjadikan angka keseluruhan di Guantanamo kini seramai 143 orang.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Barack Obama untuk menutup pusat tahanan terbabit.

Lebih separuh daripada tahanan yang masih berada di Guantanamo adalah dari warga Yaman.

Obama berjanji untuk menutup kem tahanan itu ketika kempen pilihan raya presiden pada 2008, dengan memberi alasan bahawa ia menjejaskan reputasi Amerika Syarikat di mata dunia.

Namun sehingga kini Obama masih belum dapat menutup kem tahanan berkenaan kerana mendapat bantahan daripada Kongres.

Pusat Hak Asasi Perlembagaan (CCR), yang mewakili seorang tahanan Yaman, Abd Al Hakim Ghalib Ahmad Alhag, mengecam keengganan pentadbiran Obama untuk membebaskan tahanan Yaman yang lain.

Katanya, 54 daripada 84 tahanan Yaman di Guantanamo sudah pun mendapat pengesahan untuk dipindahkan.

"Walaupun kita mengalu-alukan perpindahan Alhag, kami juga ingin mengingatkan bahawa tahanan Yaman lain yang masih berada di kem berkenaan juga patut dihantar pulang atau dipindahkan segera," kata peguam CCR, Wells Dixon dalam satu kenyataan. - Reuters

No comments:

Post a Comment