Herdman seperti di­laporkan portal majalah penerbangan, Air Transport World, menegaskan bahawa pihak tentera bertanggungjawab ke atas insiden MH17 yang ditembak jatuh pada ketinggian lebih 10,000 meter di ruang udara Ukraine ketika menggunakan laluan yang disahkan selamat dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Bercakap pada Perhimpunan AAPA ke-58 di Tokyo, Jepun semalam, beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan sistem penerbangan komersial yang selamat dan utuh supaya maklumat penerbangan di lokasi dan waktu yang sesuai untuk kegunaan pesawat penumpang dapat disalurkan.
“Insiden MH17 merupakan ke­gagalan pihak tentera. Anda masih selamat sebab kerajaan menguatkuasakan kod yang tidak membenarkan pihak tentera menembak jatuh pesawat komersial.
“Hanya empat kejadian sama berlaku setakat ini dan semuanya merupakan bencana serta boleh dielakkan, tetapi ini merupakan cabaran buat pihak tentera,” katanya tanpa menuding jari pihak mana yang terlibat dalam insiden MH17.
Dalam pada itu, Herdman berkata, tragedi MH17 membangkitkan isu tentang risiko yang perlu dinilai semula dalam industri penerbangan dan syarikat penerbangan perlu bijak membuat keputusan sendiri bagi mengatasi kekangan tertentu terutamanya dalam menentukan lokasi dan waktu yang selamat untuk meneruskan penerbangan.