Saturday, November 1, 2014

Banyak Tanah Rizab Melayu terlepas kepada pihak lain


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras)  menegaskan Tanah Rizab Melayu (TRM)  pada dasarnya mesti dikekalkan dalam kalangan orang Melayu.

Namun, Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid penghakisan TRM sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga sekarang sangat dikesali.

"Malah guna kuasa, kecuaian dan penyelewengan pihak tertentu telah menyebabkan TRM terlepas kepada pihak lain tanpa diketahui oleh masyarakat Melayu," ujar beliau dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mengambil perhatian berat isu Tanah Rizab Melayu (TRM) yang baru-baru ini dibangkitkan semula.

Pengambilalihan TRM dengan begitu banyak namun tidak diganti sebagaimana sepatutnya mengikut Perkara 89 (3) Perlembagaan Persekutuan, tidak sepatutnya berlaku.

Pihak berkuasa negeri nampaknya tidak sensitif mengenai implikasi jangka panjang yang bakal dihadapi apabila aset tanah orang Melayu terhakis. Kesannya akan juga melibatkan masa depan aset umat Islam di negara ini akan terjejas.

Kami menegaskan TRM pada dasarnya mesti dikekalkan dalam kalangan orang Melayu. Namun penghakisan TRM sejak negara mencapai kemerdekaan sehingga sekarang sangat dikesali. Salah guna kuasa, kecuaian dan penyelewengan pihak tertentu telah menyebabkan TRM terlepas kepada pihak lain tanpa diketahui oleh masyarakat Melayu.

Kini kenyataan TRM sudah jauh berkurangan dari keluasan asal tidak  mengejutkan. Pentadbiran TRM yang sepatutnya diuruskan dengan amanah oleh pihak kerajaan negeri ternyata gagal untuk mengekalkan dan memajukan aset tanah orang Melayu.

Kami ingin mengingatkan dua objektif utama Rizab Melayu ialah: 1. Menyekat tanah kerajaan di dalam kawasan Rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa cara juapun kepada bukan Melayu dan 2.  Menyekat tanah Pegangan Melayu atau tanah Rizab Melayu daripada dibuat apa-apa urusniaga persendirian (private dealings) di antara Melayu dan bukan Melayu.

Matlamatnya ialah dengan dua objektif itu diharapkan tanah-tanah kepunyaan Melayu akan berkekalan dikuasai oleh orang Melayu sepanjang zaman.

Kami berpendirian, dengan pelbagai agensi Islam dan korporat bumiputera yang ada masakini, TRM tidak sepatutnya dibenarkan dipajak kepada bukan Melayu selama tempoh tertentu seperti mana yang pernah dicadangkan sebelum ini. Sepatutnya gabungan agensi dan korporat bumiputera boleh memajukan TRM untuk kepentingan orang Melayu.

Kami mencadangkan Majlis Hartanah atau Bank Tanah dengan tabung amanah yang mencukupi ditubuhkan bagi membeli dan memegang sementara TRM dan kuota Bumiputra yang hendak dijual. Ini akan mengelakkan dari tanah milik Melayu terlepas tangan bila orang Melayu tidak mampu memajukannya atau bila kuota Bumiputera tidak dibeli oleh orang Melayu. Majlis Hartanah ini boleh membeli hartanah yang sudah dibangunkan supaya memastikan ia tidak berpindah milik kepada bukan Melayu.

Soalnya kenapa pihak kerajaan negeri dan persekutuan tidak mengambil inisiatif supaya TRM dibangunkan oleh agensi khas seperti Mara, UDA, dengan peruntukan khas dalam Rancangan Pembangunan Lima Tahun Malaysia? Apakah masalahnya yang menyebabkan semua agensi ini tidak boleh bergabung sumber untuk membangunkan TRM?

Kami menggesa agar TRM yang digadai kepada institusi kewangan atau individu bukan Melayu mestilah diambil alih. Tidak ada alasan pihak agensi kerajaan tidak boleh berbuat demikian. Masalahnya ialah pihak berkuasa negeri (PBN) tidak memastikan supaya apabila dilelong hanya Melayu sahaja boleh membeli. Akibatnya apabila ini tidak diuruskan dengan baik, akhirnya banyak kes tanah Melayu terlepas kepada bukan Melayu.

Kami juga meneliti pihak berkuasa negeri tidak berusaha agar pemilik-pemilik tanah Melayu dibolehkan mewartakan tanah mereka sebagai TRM, seperti yang boleh dilakukan di Johor. Urusan penukaran syarat TRM perlu dipermudahkan dengan premium tambahan yang minimum.

Soal harga pasaran akan menjadi rendah apabila diwartakan sebagai TRM tidak timbul kerana matlamatnya bukan untuk dijual tetapi untuk dimajukan dengan dikekalkan pemilikannya di tangan orang Melayu.

Kami kesal kenapa pengambilalihan dan penggantian TRM tidak dilakukan dengan serentak sedangkan inilah punca kenapa banyak TRM semakin mengecil.

Kami juga mendapati TRM yang telah diambil balik di bawah Akta Pengambilalihan Tanah (APT) 1960 tidak dikeluarkan dari TRM dan penggantiannya tidak dibuat serentak. Sebab itu ia mewujudkan keadaan yang sangat mengelirukan iaitu dalam rekod, TRM tersebut masih wujud tetapi di lapangan sebenar ia tidak wujud lagi. Hakikatnya TRM tersebut sudah dipindah milik, namun begitu tidak berlaku penggantian sebagaimana sepatutnya. Akibatnya TRM terus mengurang. - HARAKAHDAILY 1/11/2014

No comments:

Post a Comment