Friday, November 14, 2014

Kampung tanpa wayar: Indah khabar dari rupa


JOFRI JARAIEE | .
MIRI: Inisiatif Kampung Tanpa Wayar yang bermula sejak 2010, dibangunkan kerajaan bagi menyediakan kemudahan perkhidmatan akses Internet tanpa wayar secara kolektif kepada masyarakat di kampung, terutama penerima netbook 1Malaysia di beberapa kawasan yang kurang liputan perkhidmatan terpilih.

Usaha kerajaan bagi menyediakan kemudahan perkhidmatan akses Internet tanpa wayar dalam kalangan penduduk luar bandar dengan bandar adalah usaha yang baik untuk rakyat, namun pelaksanaannya kurang memuaskan kerana ianya tidak mampu menyelenggarakan kemudahan itu dengan baik.

Antara kampung yang terpilih dalam projek Kampung Tanpa Wayar adalah Kampung Luak, tapi masalahnya  perkhidmatan akses Internet tanpa wayar agak terhad dan juga kurang memuaskan.

Bukan semua penduduk kampung dapat menggunakan perkhidmatan akses Internet tanpa wayar walaupun terteranya papan tanda di kawasan itu seolah-olah menunjukkan penduduk di sana tidak terlepas pandang oleh kerajaan dari menerima kemudahan secara percuma ini, sedangkan kemudahan itu langsung tidak boleh dinikmati rakyat sepenuhnya.

Papan tanda Kampung Tanpa Wayar itu seolah-olah memberi gambaran yang seluruh penduduk kampung boleh mendapat kemudahan itu tetapi sebenarnya isyarat gelombang Wi-Fi hanya boleh diterima kira-kira seluas 250 meter dari pusat pemancar yang di pasang dalam kawasan tersebut.

Kawasan Kampung Luak yang agar luas itu mana mungkin semua penduduk dapat menerima isyarat gelombang Wi-Fi yang terletak jauh dari tempat kediaman mereka.

Isyarat gelombang Wi-Fi juga lemah dan tidak begitu kuat. Kebiasaannya, jarak liputan KTW1M (Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia) adalah terhad kepada 250 meter dari ‘hotspot’.  Mungkin ramai pengguna tidak dapat menikmati perkhidmatan KTW1M dan mereka lebih selesa menggunakan internet persendirian secara talian yang lebih baik daripada menggunakan KTW1M yang tidak begitu berfungsi sepenuhnya.

Hasrat kerajaan untuk memberi kemudahan kepada pengguna secara percuma atau dengan kos yang minimum terutama kepada rakyat yang memerlukan perkhidmatan akses Internet tanpa wayar tidak mencapai tujuan sebenar serta ia hanya memberi keuntungan kepada pihak-pihak tertentu yang mendapat projek yang menelan belanja berjuta-juta ringgit tersebut.

Kami mengesa pihak kerajaan agar meluaskan lagi isyarat gelombang Wi-Fi dalam kampung itu supaya boleh dinikmati oleh seluruh penduduk kampung yang telah dipilih sebagai KTW1M. Tiada gunanya ada papan tanda KTW1M tetapi tidak berfungsi sepenuhnya. Kerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk menaiktaraf serta meningkatkan perkhidmatan Wi-Fi di kawasan yang terbabit amat dihargai. – HARAKAHDAILY 13/11/2014

No comments:

Post a Comment