27 OKTOBER lalu, Dilma Rousseff berjaya mempertahankan jawatan presiden bagi penggal kedua selepas menang tipis dalam pusingan kedua Pilihan Raya Presiden Brazil menewaskan saingannya Aecio Neves dengan 51.6 peratus undi berbanding 48.4 peratus.
Sepanjang tempoh berkempen, berlaku perpecahan antara penduduk miskin di utara negara dan golongan kaya di selatan Brazil. Bagaimanapun, Rousseff yang juga merupakan presiden wanita pertama negara itu akhirnya berjaya mendapat sokongan cukup daripada golongan pertengahan di tenggara Brazil sekali gus mengekalkan kemenangan Parti Buruh pimpinannya buat kali keempat.
Pada 1 Januari depan, Rousseff akan memulakan penggal kedua pentadbirannya dan bakal menghadapi pelbagai cabaran termasuk mengembalikan keyakinan pelabur dan pasaran, eknomi lemah serta rasuah.

Beliau juga berikrar akan memulihkan perpaduan dalam negara, ekonomi dan menangani rasuah.

“Saya bersedia untuk mengadakan dialog terbuka. Tindakan ini merupakan pendekatan utama dalam pentadbiran penggal kedua saya. Saya ingin jadi Presiden lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.
Sejak menjawat jawatan presiden wanita pertama Brazil, Rousseff telah mengharungi pelbagai turun naik dalam kariernya. Beliau dikatakan mula menonjol selepas menjadi anak didik Luiz Inacio Lula da Silva atau lebih dikenali sebagai Lula, iaitu bekas presiden kegemaran Brazil. Bagaimanapun, pengkritik berpendapat Rousseff tidak akan terpilih sebagai presiden jika tidak mendapat sokongan Lula.

Walaupun pembaharuan kesejahteraan sosial telah berjaya membuatkan jutaan rakyat keluar daripada belenggu kemiskinan, namun beliau dikecam kerana masalah ekonomi hingga menyebabkan negara itu terjerumus dalam kemelesetan.

Kebangkitan kuasa

Diberi gelaran sebagai wanita besi, Rousseff terkenal sebagai seorang yang tegas dan secara terbuka menegur menterinya akibat reputasi buruk yang ditunjukkan.

Beberapa menteri dipecat atas tuduhan rasuah dan beliau turut mencapai kejayaan membanggakan untuk dirinya selepas melakukan siasatan mendalam terhadap kes jenayah itu.

Kerjayanya dalam bidang politik boleh dikatakan mencabar apabila ketua kakitangan Jose Dirceu, dipaksa meletak jawatan dan kemudiannya didapati bersalah kerana menggunakan dana awam untuk membayar parti campuran bagi sokongan politik.

Dengan imej yang bersih dan tidak tercemar oleh sebarang skandal, Rousseff dilantik bagi menggantikan posisi Dirceu.

Namun, difahamkan baru-baru ini pembangkang cuba mengaitkannya dengan tuduhan rasuah yang dilemparkan terhadap syarikat negara yang menjalankan minyak, Petrobus.

Pada bulan September, bekas pengarah Petrobus mendakwa ahli kerajaan Rousseff telah menerima komisen pada kontrak yang ditandatangani dengan syarikat minyak yang kemudiannya digunakan untuk membeli kongres sokongan.

Beliau menerajui barisan lembaga pengarah syarikat tersebut pada 2003 hingga 2010 dan pengkritik mengatakan hubungan itu seperti menodai mandat anti rasuah beliau.

Bagaimanapun, Rousseff yang secara tidak langsung terlibat menegaskan beliau tidak mempunyai apa-apa hubungan dan pengetahuan tantang salah laku itu.