Menerusi cabaran pertama, Wallenda berjaya meniti kabel besi merentasi bangunan tertinggi di Chicago iaitu dari Leo Burnett (204 meter) secara menurun 19 darjah ke Menara Barat Marina City (179 meter) dalam tempoh 6 minit dan 52 saat.
Pada cabaran kedua pula, Wallenda menyempurnakan satu lagi aksi berbahaya iaitu meniti kabel besi menyeberangi Menara Barat ke Menara Timur Marina City dengan matanya tertutup dan aksi itu di-
selesaikannya dalam tempoh 1 minit dan 17 saat.
Ironinya, semua cabaran itu berjaya diselesaikan Wallenda, 35, hanya menggunakan kayu pengimbang tanpa menggunakan abah-abah atau jaring keselamatan.
Kejayaan Wallenda menyempurnakan rekod berjalan di atas kabel tinggi secara condong dan berjalan di atas kabel tinggi dengan mata tertutup membolehkannya kini memegang sembilan rekod Guinness World Records.
“Saya rasa agak luar biasa, sangat bersyukur, jelas sekali saya berjaya mengharungi cabaran itu dengan selamat.
“Saya berharap, lebih banyak orang di seluruh dunia akan mendapat inspirasi. Jika mereka berusaha keras, mereka akan mencapai matlamat mereka,’’ katanya seperti lapor portal Mail Online.
Tahun lalu, Wallenda berjaya mengharungi cabaran meniti kabel besi hanya selebar lima sentimeter sepanjang 427 meter menyeberangi jurang di Grand Canyon, Arizona dalam tempoh 22 minit dan 54 saat.
Aksi ngeri Wallenda itu dirakam rangkaian Discovery Channel yang menyiarkannya 10 saat lewat bagi mengelak rakaman insiden sekiranya lelaki itu menemui ajalnya dalam menyempurnakan cabaran tersebut.
Wallenda merupakan generasi ketujuh pejalan atas kabel besi dengan datuknya, Karl terjatuh daripada kabel besi dan maut pada 1978 dalam satu percubaan di Puerto Rico.