Friday, December 12, 2014

Aktivis pertikai cara penggunaan 50,000 kamera di badan polis AS



AFP - SEKUMPULAN penunjuk perasaan berkumpul di hadapan bangunan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat di Washington kelmarin bagi membantah kekejaman pihak polis.


WASHINGTON – Aktivis hak sivil dan beberapa pegawai kanan polis di Amerika Syarikat (AS) berkata, cadangan kerajaan untuk membekalkan kira-kira 50,000 kamera badan kepada anggota polis memerlukan satu peraturan ketat berhubung cara penggunaan peralatan berkenaan.
Tanpa peraturan khusus, anggota polis dikhuatiri boleh menyalahgunakan peralatan berkenaan seperti mematikan kamera itu ketika berdepan sesuatu situasi sekali gus melemahkan usaha kerajaan untuk meningkatkan kepercayaan terhadap jabatan polis di seluruh negara.
Minggu lalu, Presiden AS, Barack Obama mengumumkan pelan berjumlah AS$75 juta (RM261 juta) bagi membantu jabatan polis membeli kamera yang boleh dipasang di badan anggota polis.
Pelan itu diumumkan selepas barisan juri memutuskan untuk tidak mendakwa seorang anggota polis yang menembak mati seorang remaja di Ferguson di negeri Missouri sehingga mencetuskan bantahan ganas.
Setiap jabatan polis akan menjalani latihan dan diberi garis panduan berhubung penggunaan kamera berkenaan daripada Jabatan Keadilan AS.
Bagaimanapun, seorang pegawai di Jabatan Keadilan berkata, sekiranya ada anggota polis melanggar peraturan berkenaan, tindakan hanya boleh diambil oleh pihak berkuasa tempatan atau negeri.
Bagaimanapun, peraturan tersebut dianggap sebagai tidak mencukupi oleh aktivis hak sivil kerana bimbang boleh disalahgunakan.
“Kita mesti mempunyai satu mekanisma yang betul-betul boleh diyakini.
“Jika sebuah jabatan polis itu mempunyai rekod buruk dalam mematuhi peraturan kerajaan pusat akan menyebabkan pemasangan kamera ini sia-sia,” kata seorang peguam yang juga aktivis hal Sivil, Barbara Arnwine. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3LdVxnTUr 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment