Azmin Ali
Azmin Ali
SUBANG JAYA - Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menegaskan pelaksanaan hudud bukan dasar utama dalam PR dan mempertahankan kenyataan DAP yang memberi kata dua kepada Pas supaya menghentikan pelaksanaan hudud yang bakal dibentangkan dalam sidang khas Dun Kelantan 29 Disember ini.

Azmin berkata, keputusan serta dasar PR cukup jelas dan kenyataan itu hanyalah kenyataan peribadi DAP.

“Cukuplah, itu hanya pandangan peribadi beliau, keputusan PR cukup jelas. Itu saja, terima kasih,” ujarnya ringkas selepas menghadiri Majlis Minum Petang sempena perayaan Krismas di Full Gospel Tabernacle, Subang Jaya, semalam.

Semalam, sebuah portal (bukan Sinar Harian) melaporkan, Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo berkata, PR tidak mempunyai pilihan selain membatalkan kerjasama dengan Pas serta-merta.

“Jika Pas meneruskan dan membentangkan rang pada 29 Disember ini, saya berpandangan PR tidak mempunyai pilihan selain membatalkan semua hubungan kerjasama dengan Pas,” katanya.

Gobind turut menyifatkan Pas melanggar rangka kerjasama dalam PR.

Kelmarin,  Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga memberi amaran untuk memboikot mesyuarat gabungan tersebut pada masa depan jika kerajaan Pas Kelantan meneruskan pelaksanaan hukum hudud.

Pengumuman Kerajaan Negeri Kelantan untuk mengemukakan pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 mencetuskan pelbagai reaksi, dengan DAP antara paling lantang membidas langkah tersebut.

DAP berkata, tindakan Pas itu seperti melanggar tahaluf siyasi yang dipersetujui PR.

Selasa lalu, Azmin berkata, pelaksanaan Hudud bukanlah dasar bersama PR dan Pas sepatutnya membangkitkan isu tersebut dalam Majlis Presiden PR.

Tambahnya lagi, ketika krisis semasa ekonomi, PR  akan menumpukan perhatian pada isu lebih kompleks ‘maqasid syariah’ (objektif syariah) seperti perihal ekonomi, sosial dan keselamatan.
Kata Azmin, perkara tersebut yang sudah pun dipersetujui oleh ulama besar perlu dihadapi menggunakan syariah Islam.