Friday, December 26, 2014

Mohd Ridhuan Tee dilarang masuk Sarawak

KUCHING: Pejabat Ketua Menteri Sarawak telah mengeluarkan arahan larangan memasuki Sarawak terhadap ahli akademik, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah sejak dua hari lepas.
Mohd Ridhuan dijadual menyampaikan ceramah agama di Masjid Kecil Daerah Lundu, sebuah kawasan dalam Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu, kira-kira satu setengah jam perjalanan dengan kereta dari Kuching, pada jam 8 malam ini.
Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem merupakan ADUN Tanjung Datu.
Timbalan Pengarah Imigresen Sarawak, Hamfatullah Syawal Hamdan ketika dihubungi Bernama di sini mengesahkan bahawa Jabatan Imigresen mendapat arahan daripada Pejabat Ketua Menteri untuk tidak membenarkan Mohd Ridhuan memasuki Sarawak.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Imigresen Sarawak menjelaskan bahawa Mohd Ridhuan tidak muncul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini.
Katanya beliau menunggu ketibaan Mohd Ridhuan, yang dijadual tiba pagi ini, sehingga 12 tengah hari namun ahli akademik itu tidak muncul.
Beliau berkata mengikut Undang-undang Imigresen, mana-mana orang yang datang ke Sarawak dan jika dia tidak dikehendaki pihak berkuasa negeri, pihak Jabatan Imigresen akan melaksanakan arahan melarangnya daripada memasuki negeri ini.
Seorang sumber yang dihubungi Bernama berkata: "Ketua Menteri (Tan SriAdenan Satem) kurang setuju dengan kehadiran Mohd Ridhuan di Lundu malam ini, jadi majlis diarahkan untuk dibatalkan." Sebelum ini beberapa pemimpin pembangkang dihalang daripada memasuki Sarawak di LTAK dan Lapangan Terbang Sibu. Adenan, yang dilantik sebagai ketua menteri Sarawak pada hujung Februari lepas, pernah mengeluarkan kenyataan tidak membenarkan pentaksub agama atau golongan pelampau ke dalam negeri ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment