Mohd Khairuddin Aman RazaliSHAH ALAM – Dewan Ulama Pas Pusat mengecam sekerasnya percubaan antarabangsa menimbulkan kekeliruan dunia terhadap ulama terkenal dunia, Dr Yusof al-Qaradawi dengan meletakkan beliau dalam senarai dikehendaki oleh polis antarabangsa (Interpol).
Ketua Penerangannya, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, dalam masa yang sama Dewan Ulama menuntut Interpol segera membersihkan nama al-Qaradawi daripada senarai penjenayah yang dikehendaki.
“Begitu juga, umat Islam khususnya pemerintah Islam dituntut berganding bahu sepakat meluahkan mesej bantahan terhadap tuduhan berniat jahat lagi zalim ini serta mempertahankan al- Qaradawi dan membersihkan nama beliau daripada tohmahan liar ini.
“Al-Qaradawi merupakan antara tokoh ulama kontemporari yang ke depan memperjuangkan isu masyarakat antarabangsa.
Pandangan beliau didengari dan personaliti serta keilmuan beliau dipercayai oleh masyarakat Islam,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, al-Qaradawi mempunyai pendirian politik yang jelas sejak dulu dalam isu-isu penjajahan bumi Palestin dan kezaliman Zionis serta penjajahan Amerika terhadap bumi Iraq.
“Begitu juga pendirian beliau yang menjadi ikutan dalam krisis kudeta terhadap kerajaan yang dipilih secara sah mengikut lunas demokrasi di Mesir, tragedi di bumi Syria dan lain-lainnya.

“Keadaan ini mendorong dan menekan musuh-musuh yang cemburu dan golongan yang zalim di kalangan pemerintah dunia berusaha merencanakan pelbagai rencana jahat terhadap beliau,” katanya.