Othman Mustapha
Othman Mustapha
KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berpandangan bahawa pengeluaran waran tangkap oleh Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap ulama tersohor Dr Yusuf al-Qaradawi tanpa asas yang kukuh sebagai penganiayaan terhadap ulama.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha berkata, pihaknya sama sekali menolak sebarang usaha penindasan terhadap mana-mana individu dan umat Islam.
“Tindakan pihak tertentu yang cuba untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap al -Qaradawi tanpa asas dan siasatan merupakan satu penganiyaan terhadap ulama.
“Perkara itu bukan sahaja akan mengundang sensitiviti umat Islam malah dikhuatiri akan menyebabkan kemarahan umat Islam seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sehubungan itu, Jakim menggesa Interpol menarik semula notis merah yang telah dikeluarkan itu.
Othman berkata, al Qaradawi merupakan tokoh ulama kontemporari yang disegani dan dijadikan rujukan semasa bagi masyarakat Islam seluruh dunia.
Tambah beliau, tuduhan melabel tokoh ulama itu sebagai militan dan menyeru kepada keganasan adalah tidak berasas.
“Buktinya beliau (al - Qaradawi) telah menyatakan pendirian terhadap deklarasi kekhalifahan Islam oleh IS pada 5 Julai (2014) lalu adalah melanggar syariah malah setiap pandangan dan fatwa beliau mempunyai asas yang tidak boleh dipertikai.
“Semua pihak seharusnya mempertimbangkan ketokohan beliau sebagai tokoh ulama yang disegani dunia. Beliau bukan sahaja tokoh ilmuan malah memberi sumbangan yang cukup besar dalam perundangan Islam, penulisan dan kefatwaan yang bersifat kontemporari serta menjadi rujukan pengikut yang ramai,” katanya.
Malaysia juga pernah menobatkan al-Qaradawi sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada tahun 2009 sebagai pengiktirafan di atas sumbangan besar beliau dalam memartabatkan Islam di peringkat global.