Suruhanjaya Pertahanan Kebangsaan Korea Utara menuduh Obama adalah dalang di sebalik tayangan The Interview serta menganggap filem itu tidak jujur dan menentang kemajuan.
Seorang jurucakap yang tidak dikenali daripada Jabatan Polisi suruhanjaya dalam satu kenyataan berkata, Obama cuai mengeluarkan kata-kata dan tindakannya seperti seekor monyet dalam hutan.
Ini bukan kali pertama Korea Utara menghina secara kasar terhadap Obama dan pegawai tertinggi AS serta Korea Selatan.
Awal tahun ini, Pyongyang menggelar Setiausaha Negara AS, John Kerry sebagai seekor serigala dan memanggil Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye sebagai pelacur.
Pada masa sama, suruhanjaya berkenaan menuduh Washington mengganggu talian Internet di Korea Utara minggu ini yang berlaku selepas AS berjanji untuk bertindak balas terhadap penggodam studio perfileman Sony Pictures.
Seorang jurucakap suruhanjaya Korea Utara menuduh AS mula mengganggu operasi Internet media di republik itu dan tidak malu melakukan perkara tersebut yang dianggap seperti kebudak-budakan.
Namun, kerajaan AS menafikan dakwaan tersebut, manakala White House tidak mengulas tentang perkara berkenaan.
Pyongyang sebelum ini menafikan penglibatannya dalam serangan siber ke atas syarikat Sony Pictures serta mengutuk penerbitan filem komedi The Interview, yang memaparkan pembunuhan pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.
Terdahulu, Sony Pictures memutuskan untuk membatalkan tayangan filem itu selepas menerima beberapa ugutan termasuk serangan pengganas, namun Obama mengecam tindakan Sony dan filem itu mula ditayangkan kepada umum, kelmarin. – AGENSI