Pemberontak menyerahkan 150 askar Ukraine bagi ditukarkan dengan 222 anggota pemberontak selepas perjanjian dicapai antara Kiev, Moscow, kumpulan pemberontak dan Pertubuhan Kerjasama dan Keselamatan Eropah (OSCE) dalam rundingan pada Rabu lalu.
Jurucakap Presiden Ukraine, Svyatoslav Tsegolko dalam kenyataannya berkata, seramai 146 askar Ukranie telah dibebaskan pemberontak semalam di bandar Yasinovataya, Donetsk dan baki empat orang lagi akan dibebaskan esok.
“Kesemua tahanan yang dibebaskan boleh menyambut Tahun Baharu bersama keluarga mereka,” katanya.
Pertukaran itu merupakan sebahagian 12 perkara yang dipersetujui di bawah pelan damai antara Kiev dan pemberontak, termasuk perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada September lalu.
Namun, kebanyakan syarat di bawah pelan itu tidak dipatuhi selepas kedua-dua pihak beberapa kali melanggar perjanjian gencatan senjata sehingga menyebabkan kira-kira 1,300 orang terbunuh sejak September lalu.
Jumlah sebenar tahanan yang ditahan oleh kedua-dua pihak tidak diketahui tetapi tentera Ukraine melaporkan seramai 600 askarnya kini berada dalam tahanan pemberontak. – REUTERS