Thursday, December 4, 2014

Setiausaha Agung OIC gesa media Islam perangi fahaman ekstremisme

TEHRAN: Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Iyad Ameen Madani mahu media Islam memerangi fahaman ekstremisme yang berjaya menarik remaja Islam atas nama Islam padahal tidak mempunyai kaitan langsung dengan Islam.
"Kita harus menangani fahaman ekstremisme ini, membendung dan memahami latar belakangnya dan persekitaran yang ia muncul, ekonomi, sosial dan konteks agama," kata beliau pada majlis perasmian sesi ke-10 Persidangan Menteri-menteri Penerangan Islam yang dihoskan Iran di sini hari ini.
"Kita juga perlu mendalami penelitian kuasa-kuasa yang menggunakan pelampau wacana, pola yang bersistematik dan aura media untuk mencapai matlamat, dasar dan objektifnya," katanya.
Beliau bertanya bagaimana media Islam menangani ideologi ekstremisme dan fanatisme.
"Adakah media kita mampu memantau dengan berkesan, menjelaskan dan meliputi fenomena ini? Adakah mereka dapat membentuk golongan profesional media yang mampu memahami, mengambil langkah susulan dan mendedahkan fahaman ini yang menyemarakkan keganasan, pembunuhan dan kekejaman atas nama Islam dalam cara analisis yang objektif, atau sebaliknya adakah media kita terhad kepada tafsiran politik sempit terhadap fenomena ini dan implikasinya," katanya.
Beliau juga menyatakan fahaman pelampau dan ganas ini, bertujuan untuk merampas dan mengawal Islam, telah meniupkan sentiman anti Islam atau lebih dikenali sebagai Islamofobia.
"Ia satu trend yang percaya bahawa Islam kurang interpretasi bagi isu-isu sementara dan bahawa kita sebagai umat Islam berada di luar lingkungan sejarah, jauh terpisah daripada evolusi sosial, politik, saintifik atau budaya," katanya.
Ia juga menganggap umat Islam, kerana menjadi orang Islam dan bukan untuk sebarang objektif atau sebab-sebab sejarah, sebagai mundur, kurang upaya, dan berfikiran sempit.
"Mungkin sesuai untuk menjalankan analisis objektif tentang bagaimana sektor maklumat boleh menangani sentimen kebencian ini, bagaimana ia telah menanganinya dan menangkisnya, dan di konteks logik mana ia telah berhujah dan menangkis hujah dalam usaha untuk mengetahui jika institusi maklumat kita, di semua peringkat adalah sepadan untuk membendung fahaman ini," katanya.
Madani juga berkata dengan sektor maklumat dikehendaki untuk menangani semua cabaran ini, ia juga terikat untuk mengemukakan wacana berteraskan kesedaran untuk mengikuti perkembangan tentang kemajuan semula jadi ke arah pembaharuan, kemajuan dan mematuhi nilai-nilai keadilan menurut Islam, kesaksamaan, kebebasan beragama dan pendapat.
"Media kami dikehendaki menentang dasar perkauman dan apartheid yang diamalkan oleh Israel terhadap penduduk Palestin, dan pencabulan Masjid Al-Aqsa, yang merupakan bentuk paling mengerikan mengenai retorik kebencian," katanya.
Tambahan pula, media Islam perlu menumpukan perhatian kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam dunia Islam, supaya umat Islam dapat memahami antara satu sama lain dengan lebih baik.
"Mungkin walaupun sekilas pandang akan menunjukkan kepada kita bagaimana media kita keberatan untuk membuat liputan mengenai acara politik, ekonomi, budaya, seni dan sukan yang berlaku dalam dunia Islam," katanya.
Sementara itu, Menteri Kebudayaan dan Bimbingan Islam Iran, Ali Jannati menegaskan tentang pentingnya perpaduan Islam yang merupakan tonggak utama kekuatan umat Islam.
"Tanggungjawab bersama kami adalah lebih berat daripada dahulu. Di bawah keadaan yang mencabar ini, dunia Islam amat memerlukan solidariti, perpaduan dan kerjasama," kata beliau dalam kenyataan pembukaannya.
Naib Presiden Pertama Iran, Eshaq Jahangiri berkata usaha perlu dibuat untuk membangunkan interaksi yang berkesan dengan media Barat untuk memberi "suara kepada umat ​​Islam dan wajah sebenar Islam dan nilai-nilai inspirasinya berdasarkan semangat persaudaraan, toleransi dan keadilan."
"Kami berpendapat bahawa interaksi dan dialog berkeupayaan untuk mewujudkan pemahaman, oleh itu merapatkan antara satu sama lain," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment