Portal berita Business Insider melaporkan Presiden Persatuan Peguam Perkahwinan Itali, Gian Ettore Gassani berkata, WhatsApp kini merupakan sumber paling banyak digunakan dalam kes perceraian berbanding mesej teks, e-mel, panggilan telefon pada lewat malam, nota tulisan tangan atau kesan gincu di kolar baju.
“Walaupun tiada pihak menyatakan WhatsApp menjadi punca penceraian, namun perkhidmatan itu kini menjadi satu cara biasa untuk seseorang menyedari perbuatan curang pasangan mereka,’’ katanya.
Program WhatsApp atau bentuk baharu komunikasi seperti Facebook dan Skype mungkin memudahkan berlaku perbuatan curang kerana lebih mudah untuk bertukar mesej dan gambar secara rahsia.
Gassani berkata, dalam senario biasa, seorang pasangan yang curang akan meninggalkan telefon bimbitnya ketika mandi atau bersukan dan satu mesej dihantar membolehkan pasangan mereka pula sempat melihat dan membacanya.
“Lelaki lebih mudah dikesan terbabit dalam senario tersebut berbanding wanita walaupun situasi ini tidak menunjukkan lelaki lebih curang daripada wanita.
“Lelaki lebih suka menyimpan mesej atau gambar skandal mereka, manakala wanita pula hanya akan melihat mesej atau gambar itu sekali dan kemudian bertindak memadamnya,’’ katanya.
Walaupun pasangan curang ditangkap melakukan perbuatan tersebut, namun adalah sukar untuk bercerai di Itali ekoran pengaruh Gereja Katolik yang kuat.