Aktivis berhaluan kiri, Daniel Cohn-Bendit berkata, protes anti-Islam dianjurkan kumpulan Patriotik Eropah Menentang Pengislaman Barat (PEGIDA) dan ia bukan di­sebabkan krisis ekonomi yang dialami Jerman.
“Mereka ditakutkan dengan siaran televisyen global dan Internet. Sebab itu anda boleh tinggal di Saxony dan masih mempunyai perasaan takut terhadap serangan ganas kumpulan militan,” katanya.
PEGIDA yang ditubuhkan pada Oktober lalu mengadakan bantahan bukan sahaja terhadap Islam, malah terhadap media yang digelar sebagai penipu serta ahli politik yang didakwa menggugat budaya Kristian Jerman.
Demonstrasi itu, bagaimanapun dikecam beberapa parti politik Jerman, termasuk Canselor, Angela Merkel yang mengutuk stigma kebencian dalam kalangan kumpulan itu.
Kebanjira pendatang asing turut menjadi kebimbangan banyak negara Eropah.
Sweden yang mengamalkan sikap liberal dilaporkan menapis 100,000 permohonan pencari suaka untuk memasuki negara yang hanya mempunyai 10 juta penduduk.
Kes kebakaran beberapa buah masjid di negara berkenaan juga dikhuatiri berpunca daripada sentimen fobia terhadap Islam yang meningkat.
Sementara itu, Perancis yang didiami oleh penduduk Islam paling ramai di Eropah berhadapan dengan isu pengislaman negara itu yang dibangkitkan oleh Parti Barisan Kebangsaan dan kumpulan intelek. – AFP