Menurut portal, Mail Online, dataran di Gereja Cologne yang merupakan satu daripada bangunan terkenal di Jerman berada dalam keadaan gelap, manakala lampu Brandenburg Gate dan Menara TV di Berlin turut ditutup bagi membantah demonstrasi yang dianjurkan oleh Pertubuhan Patriotik Eropah Menentang Pengislaman Barat (PEGIDA) itu.
Wakil Gereja Cologne, Norbert Feldhoff berkata, tindakan mematikan lampu adalah satu cubaan untuk membuatkan peserta demonstrasi memikirkan semula tentang protes yang dilancarkan.
“Anda mengambil bahagian dalam demonstrasi yang bersifat perkauman dan melampau,” katanya.
Bangunan kaca milik syarikat kereta, Volkswagen di timur bandar Dresden turut menutup lampu bagi menunjukkan pendirian yang menyokong demokrasi dan kebebasan dalam masyarakat.
Demonstrasi itu dilancarkan beberapa hari selepas Canselor Jerman, Angela Merkel dalam ucapan tahun baharunya mengkritik tunjuk perasaan berbaur perkauman, yang mencetuskan bantahan kira-kira 18,000 penduduk Dresden, Isnin lalu.
Mereka membawa bendera Jerman dan poster yang tertera slogan seperti ‘Ketaksuban terhadap agama dan segala bentuk perubahan radikal ditentang’.
Bulan lalu, sentimen antiimigran mula menular di bandar-bandar utama negara ini, khususnya Duesseldorf berikutan polisi Jerman yang menggalakkan kemasukan pendatang asing serta pelarian dari Iraq dan Syria.
Seramai 17,000 orang terlibat dalam tunjuk perasaan yang diadakan setiap minggu bagi memprotes lambakan pendatang dan menggesa kerajaan supaya merujuk semula polisi tersebut dan mengenakan kawalan ketat kepada pendatang.