Saturday, January 10, 2015

Wira PERKASA dakwa digasak Pemuda Umno


10 Jan 2015


Seorang pemimpin sayap Wira PERKASA Perak, Saad Abdul Rahman mendakwa terpaksa merima tiga jahitan di mukanya akibat ditumbuk seorang pemimpin Pemuda Umno negeri itu.

Saad mendakwa dalam kejadian itu, Mohamad Iruan Zulkefli mencekak lehernya dan menumbuknya sehingga beliau cedera di bawah alis mata kirinya.

Dakwanya lagi, Mohamad Iruan turut memberi amaran kepadanya agar tidak mencampuri urusan Pemuda Umno.

Saad mendakwa kejadian itu berlaku di sebuah dewan di Kampung Kelantan, Lenggong semalam.

Dalam laporan polisnya, Saad mendakwa didatangi sepuluh orang lelaki yang diketuai Iruan.

"Lelaki tersebut telah cekak leher saya dan melepaskan tumbukan ke muka saya.

"Kawan-kawannya pula menolak saya ke dinding," laporan itu dipetik.

Isu agihan bantuan banjir

Ketua Wira PERKASA, Irwan Fahmi Idris mengesahkan perkara itu.

Beliau kesal kerana insiden itu berlaku ekoran pertikaian dalam pengagihan bantuan banjir.

“Kami masih menyiasat punca kejadian ini tetapi kami kesal kerana perkara seperti ini boleh berlaku.

“Ini adalah jenis pemimpin dalam Pemuda Umno sekarang, tiada sopan santun mahupun otak,” katanya.

Katanya, pertikaian tidak harus diselesaikan dengan kekerasan kerana Malaysia mempunyai undang-undang.

Sementara itu, Iruan memberitahu Malaysiakini bahawa Saad hanya berpura-pura dan “berlakon” seperti cedera teruk.

Beliau menangkis dakwaan bahawa pemimpin PERKASA itu cedera parah.

“Jangan jadi pelakon. Jangan ambil kesempatan dan jangan fitnah,” katanya.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment