Beliau membuat pengumuman itu semalam yang disiarkan secara langsung melalui stesen televi­syen tempatan, seminggu selepas abangnya, Raja Abdullah mangkat ketika berusia 90 tahun.
Beliau turut meng­umumkan bayaran bonus dua bulan kepada kakita­ngan serta pesara kerajaan.
Salman menggugurkan jawatan dua anak lelaki Raja Abdullah, Turki dan Mishaal daripada jawatan Gabenor Riyadh dan Gabenor Mekah yang masing-masing digantikan oleh Faisal bin Bandar dan Khaled al-Faisal.
Menurut laman web, arabnews.com, Mishaal kemudian dilantik sebagai penasihat raja dengan pangkat bertaraf menteri.
Dua jawatan gabenor tersebut selalunya dipegang oleh putera tertinggi dan menjadi batu loncatan kepada pemegang jawatan untuk beralih kepada tampuk yang lebih tinggi.
Salman turut menggantikan beberapa pegawai ter­tinggi agama dan menukar dua ulama yang mengetuai Kementerian Kehakiman dan Polis Syariah.
Beliau melantik peguam, Mohammed Jadaan sebagai Pe­ngarah Badan Berkuasa Pasaran Modal dan mengekalkan Menteri Mi­nyak, Ali al-Naimi serta Menteri Luar, Putera Saud al-Faisal.
Jawatan Menteri Buruh, Menteri Perdagangan, Menteri Pe­ngangkutan, Menteri Ekonomi dan Perancangan turut dikekalkan, manakala menteri baharu dilantik untuk Kementerian Pertanian, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kebudayaan dan Maklumat.
Sementara itu, Salman menggabungkan Kementerian Pendidikan dengan Kementerian Pe­ngajian Tinggi dan memansuhkan Majlis Agung Hal Ehwal Petroleum dan Mineral serta menggantikan badan itu de­ngan pertubuhan baharu, menurut teks dekri diraja. – REUTERS