Ini kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan gajet baharu tidak lama lagi yang mampu mengecam kesalahan dengan sekelip mata sahaja.
Alat pengimbas nombor plat kenderaan atau Automated Numbers Plate Recognition (ANPR) yang bernilai kira-kira RM5 juta bakal menjadi ‘senjata’ terbaharu polis trafik bagi memburu pesalah-pesalah trafik di seluruh negara.
Menariknya gajet canggih itu tidak akan dipasang di jalan-jalan tertentu sebaliknya bergerak secara mobil dan polis yang mengesan kesalahan itu difahamkan mampu mengambil tindakan serta-merta.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Mohd. Fuad Abd. Latiff berkata, pihaknya bakal memiliki ANPR menjelang tahun ini untuk memantapkan lagi penguatkuasaan polis trafik.
“Kita bakal memiliki sekurang-kurangnya 20 unit ANPR ini pada tahun ini dan akan terus mengaplikasi kelebihan yang ada untuk mencari pesalah-pesalah trafik yang tegar.
“Alat ini bernilai RM250,000 seunit dan kita difahamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menguruskan prosedurnya untuk kegunaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak lama lagi,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Fuad menyatakan, ANPR bakal digunakan secara meluas di negeri-negeri yang bersempadan dengan negara jiran untuk memburu warganegara asing yang liat membayar saman trafik.
“Rekod PDRM menunjukkan kami hanya mengutip RM2.4 juta atau dua peratus sahaja daripada jumlah 300,000 keseluruhan saman yang dikeluarkan terhadap warganegara Singapura. Oleh demikian penggunaan ANPR bakal menjadikan mekanisme terbaik untuk memburu mereka,” katanya.
Difahamkan, ANPR tidak hanya dimiliki pasukan trafik malah jabatan lain kerana gajet tersebut mampu mengesan pelbagai kesalahan jenayah lain seperti kenderaan curi, hilang dan sebagainya.
Dalam perkembangan lain Mohd. Fuad berkata, pihaknya menganggap jumlah kematian pengguna jalan raya pada tahun lepas yang hanya menurun sebanyak 0.2 peratus berbanding jumlah 447,204 pada 2013 adalah sesuatu yang tidak menggembirakan.
“Saya masih tidak berpuas hati dengan penurunan yang jelas begitu sedikit ini iaitu penurunan 1,008 kes sahaja. Tahun lepas kita merekodkan jumlah 476,196 kes dengan 6,674 kematian di atas jalan raya.
“Punca utama kejadian kemalangan ini adalah berkaitan sikap pemandu dan saya tidak tahu kenapa perkara ini berlaku. Seolah-olah sikap rakyat kita ini akan berubah serta-merta ketika mereka berada di atas jalan raya.
“Mungkin perkara ini berlaku ekoran masalah psikologi dan saya berharap satu kajian tentang perkara ini dilakukan pihak tertentu untuk mengetahui kenapa rakyat kita bersikap begitu ketika memandu. Mungkinkah ia disebabkan cuaca, makanan yang kita ambil atau persekitaran,” katanya.