Hakim arah AS siar gambar penderaan
Seorang pegawai tentera AS menumbuk tahanan di penjara Abu Gharib pada 2003.
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Seorang hakim mahkamah Amerika Syarikat (AS) mengarahkan pentadbiran Presiden Barack Obama supaya menyiarkan gambar pegawai tenteranya mendera tahanan di Iraq dan Afghanistan.

Hakim Mahkamah Persekutuan New York, Alvin Hellerstein memberikan tempoh 60 hari kepada kerajaan AS untuk menyiarkan gambar tersebut kepada umum.

Menurut Press TV, pada 2005, mahkamah sama mengarahkan pentadbiran bekas Presiden George W Bush menyerahkan lebih 100 gambar dan rakaman video baharu yang menunjukkan penderaan tahanan di Abu Gharib, Baghdad.

Jurucakap Pentagon, Leftenan Kolonel Myles Caggins III berkata, pihaknya sedang mengkaji keputusan itu dan akan memberi maklum balas di mahkamah.

AS sebelum ini berusaha keras merahsiakan gambar-gambar tersebut sebelum ia dibocorkan kepada umum oleh Kesatuan Kebebasan Sivil Amerika (ACLU) pada 2004.

Lapan sampel gambar yang disiarkan itu menunjukkan berlakunya pelanggaran hak asasi manusia di penjara Abu Gharib, sehingga menimbulkan kecaman antarabangsa.

Peguam kerajaan mendakwa tindakan menyiarkan gambar itu akan mendedahkan identiti tahanan, sekali gus mencabuli hak mereka menurut Konvensyen Geneva.